Keselamatan maritim merangkumi hal ehwal berkaitan keselamatan pelayaran, pelaut, respon tumpahan minyak dan sistem trafik perkapalan. Elemen ini penting bagi memastikan perairan Malaysia selamat dan alam persekitaran marin tidak tercemar.
Respon Tumpahan Minyak
Pengoperasian kapal berkemungkinan menyebabkan risiko insiden dan pelanggaran kapal sekaligus boleh menyebabkan tumpahan minyak. Ini seterusnya berkemungkinan memberi kesan negatif terhadap alam sekitar marin dan juga komuniti maritim yang lain.
Berdasarkan kedudukan geografi negara-negara Asia Tenggara yang berkongsi perairan dan disokong faktor arus, angin dan sebagainya, menjadikan insiden tumpahan minyak berisiko untuk merentasi sempadan antara negara. Sehubungan ini, satu Memorandum Persefahaman (MoU) peringkat ASEAN yang pertama iaitu MoU ASEAN Mechanism for Joint Oil Spill Preparedness and Response (MoU-ASEAN OSPAR) telah ditandatangani oleh Menteri-Menteri Pengangkutan negara-negara ASEAN semasa Mesyuarat Menteri-Menteri Pengangkutan ASEAN kali ke-20 pada 28 November 2014.
MoU ini bertujuan untuk mewujudkan kerjasama strategik dalam melawan tumpahan minyak di laut. Dengan adanya kerjasama serantau ini, kapasiti dan kemampuan negara-negara ASEAN dalam menghadapi risiko tumpahan minyak berskala besar dapat dipertingkatkan melalui mobilisasi personel dan aset-aset seperti kapal bagi tujuan mengawal dan memulihara/melawan tumpahan minyak. MoU ini juga menggalakkan negara-negara ASEAN untuk betukar-tukar pengetahuan mengenai kaedah-kaedah, teknologi dan peralatan tumpahan minyak agar sentiasa setaraf dengan perkembangan di peringkat antarabangsa.