Kementerian Pengangkutan Malaysia

Sistem Trafik Perkapalan (VTS)

Keselamatan maritim merangkumi hal ehwal berkaitan keselamatan pelayaran, pelaut, respon tumpahan minyak dan sistem trafik perkapalan. Elemen ini penting bagi memastikan perairan Malaysia selamat dan alam persekitaran marin tidak tercemar.​

vessel-traffic-system.jpg

Sistem Trafik Perkapalan

Memandangkan trafik kapal di Selat Melaka yang melebihi 70,000 kapal setiap tahun, satu Sistem Trafik Perkapalan (VTS) telah dipasang di sepanjang Selat Melaka untuk memantau pergerakan kapal tersebut.

Sistem Trafik Perkapalan adalah satu sistem pemantauan trafik marin bertujuan memantau pergerakan kapal-kapal yang melalui perairan negara dan juga membantu dari aspek keselamatan pelayaran. Di Malaysia, kapal-kapal yang melalui kawasan operasi VTS akan dipantau dengan menggunakan sistem pengesanan dan dikenalpasti dengan penggunaan "call sign" mereka.

Sekiranya terdapat situasi yang mungkin menjurus kepada kemungkinan perlanggaran atau kemalangan kapal, petugas VTS akan memberi amaran lebih awal berhubung situasi itu agar kapal-kapal dapat mengambil tindakan untuk mengelak perlanggaran atau kemalangan daripada berlaku.​