Perkhidmatan Perkapalan
Perkhidmatan perkapalan merangkumi perkhidmatan perkapalan dan feri, pelancongan pelayaran dan pendaftaran kapal. Malaysia Shipowners’ Association pula merupakan persatuan yang mewakili kapal-kapal Malaysia, selain daripada Sabah dan Sarawak Shipowners’ Association.
Perkhidmatan Feri
Penetapan Laluan Pelayaran Feri
Bahagian Maritim bertanggungjawab dalam menetapkan akses perhubungan pengangkutan air dalam perairan Malaysia serta laluan yang merentas sempadan negara. Permohonan operasi ini adalah inisiatif pihak swasta sepenuhnya yang melibatkan feri penumpang dan feri roll on roll off (RORO).
Kelulusan Permohonan Pengoperasian Feri
Bahagian Maritim, bertanggungjawab dalam meluluskan permohonan syarikat-syarikat pengendali perkhidmatan feri di perairan negara. TERTAKLUK kepada syarat-syarat asas yang perlu dipenuhi seperti berikut:
- Syarikat perlu mendapatkan kebenaran dan hak berlabuh (berthing right) di terminal secara bertulis daripada pihak berkuasa negeri;
- Syarikat hanya boleh memohon untuk mendapatkan Lesen Perkapalan Dalam Negeri setelah mendapat kebenaran dan hak berlabuh (berthing right) di terminal yang berkaitan secara bertulis daripada pihak berkuasa negeri;
- Syarikat bertanggungjawab untuk mendapatkan kelulusan berhubung slot pelayaran dan frekuensi perkhidmatan feri daripada Jabatan Laut Malaysia dan pihak berkuasa negeri;
- Syarikat feri perlu menggunakan feri daftaran Malaysia sahaja bagi maksud mengendalikan perkhidmatan feri di laluan tempatan;
- Sebarang kelulusan adalah tertakluk kepada syarat-syarat teknikal, operasi, keselamatan dan sekuriti serta lain-lain syarat yang akan ditetapkan oleh Jabatan Laut Malaysia dan Kementerian Pengangkutan dari semasa ke semasa.