Kementerian Pengangkutan Malaysia

Kereta Yang Lebih Selamat

​​

Perkembangan Terkini Mengenai Kereta Yang Lebih Selamat di Malaysia


Istilah ‘kereta yang lebih selamat’ dikaitkan dengan program penilaian kereta baharu (NCAP) adalah bagi membezakan satu kenderaan dengan yang lain dari segi prestasi keselamatan, terutamanya pada dua aspek iaitu, kebolehlanggaran dan keselamatan aktif. Kebolehlanggaran bermaksud seberapa baik kereta tersebut melindungi penghuninya dalam kemalangan manakala keselamatan aktif pula bermaksud bagaimana kereta tersebut mengelakkan atau mengurangkan kemalangan daripada berlaku. Kelajuan ujian kemalangan yang dilakukan di bawah program NCAP juga lebih tinggi jika dibandingkan dengan peraturan di mana syarat kelajuan untuk ujian pelanggaran offset hadapan adalah 56 km / j sementara NCAP adalah 64 km / j. Tambahan pula, setiap program NCAP di seluruh dunia telah membangunkan protokolnya sendiri yang mempertimbangkan senario keselamatan jalan raya dan keadaan wilayah / negara NCAP mempromosikan inisiatif kereta yang lebih selamat. Protokol yang dikembangkan oleh setiap NCAP menyasarkan untuk meningkatkan prestasi keselamatan kereta. Setiap kenderaan yang berjaya mencapai mata pemarkahan yang ditentukan oleh program NCAP, pengeluar kenderaan akan diberi penghargaan dengan penilaian penarafan bintang NCAP antara peringkat 0-Bintang dan 5-Bintang. Oleh itu, di Malaysia, terdapat semakin banyak kereta yang lebih selamat di pasaran. Sehingga Mac 2020, 81% model kereta penumpang yang dijual di Malaysia telah berjaya memperoleh penilaian ASEAN NCAP 4-Bintang dan ke atas.


Dengan berjayanya pelaksanaan ASEAN NCAP, Malaysia di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan melaksanakan pelabelan ASEAN NCAP sebagai peraturan wajib menjelang tahun 2020. Label ini mengandungi maklumat mengenai penilaian serta spesifikasi keselamatan oleh ASEAN NCAP dan NCAP yang lain (jika terlibat) terhadap kereta tersebut. Ia perlu dipaparkan pada semua kereta penumpang yang dipamerkan di bilik pameran kenderaan atau mana-mana premis promosi di Malaysia. Melalui label tersebut, pengguna yang mengunjungi bilik pameran akan dimaklumkan mengenai prestasi keselamatan kereta dan ciri keselamatan yang ditawarkan dalam model yang dipamerkan. Oleh hal yang demikian, dengan memiliki label tersebut, ia dapat memberikan pengaruh penting terhadap keputusan pembelian pengguna ketika mereka merancang untuk membeli kereta baharu.


Ciri atau komponen berkaitan dengan kereta yang lebih Selamat:

  1. Pemasangan beg udara atau Sistem Pengawal Keselamatan (SRS) untuk pemandu dan penumpang depan di bawah UN R94 sebagai piawai di semua varian.
  2. Sistem Brek Kecemasan Anti-kekunci (ABS) dipasang secara meluas dalam semua varian kereta penumpang baharu.
  3. Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC) di bawah peraturan UN R140 adalah peralatan wajib untuk kereta penumpang baharu di Malaysia sejak Julai 2018.
  4. ASEAN NCAP menekankan pentingnya pemasangan Teknologi Titik Buta (BST) atau Alat Visual Titik Buta (BSV) untuk mengelakkan perlanggaran dengan penunggang motosikal atau mengurangkan kecederaan sekiranya kejadian seperti itu berlaku.
  5. Sistem Brek Kecemasan Automatik (AEB) merupakan teknologi yang dapat menggunakan brek secara automatik apabila kereta berada di dalam keadaan kecemasan. Sebagai contoh ketika pemandu tidak menyedari kereta atau pejalan kaki di hadapan atau membuat anggaran yang salah mengenai jarak antara kereta yang berada di hadapannya. Pada masa ini terdapat tiga jenis AEB yang dijual di pasaran global iaitu AEB City, AEB Inter-Urban dan AEB Pedestrian / VRU.
  6. Sistem Amaran Pelanggaran Hadapan
  7. Sistem Amaran Keluar Laluan
  8. Bantuan Kekal Laluan
  9. Sistem e-Call


Senarai kereta penumpang yang dinilai oleh ASEAN NCAP boleh dilihat dari laman web rasminya. ​​