Kementerian Pengangkutan Malaysia

Keselamatan ketika Penggunaan Telefon Bimbit


Kajian yang dijalankan oleh Abu Bakar dan Liew (2015) terhadap 627 pemandu di Lembah Klang mendapati 43.4% pemandu menggunakan telefon bimbit semasa memandu, 61.9% semasa berhenti di isyarat lampu dan 53.6% menggunakan telefon bimbit ketika dalam kesesakan jalan raya. Kajian ini juga mendapati bahawa 81.5% sedar bahawa menggunakan telefon bimbit semasa memandu adalah di salah sisi undang-undang, 86.7% bersetuju bahwa menggunakan telefon bimbit semasa memandu boleh membahayakan diri sendiri dan orang lain, 86.3% bersetuju bahawa menggunakan telefon bimbit semasa memandu boleh meningkatkan kecenderungan terlibat dalam kemalangan jalan raya. Secara keseluruhan, 96% daripada 605 responden melaporkan bahawa mereka tidak pernah terlibat dalam kemalangan akibat menggunakan telefon bimbit semasa memandu. Secara keseluruhan, hanya 4% responden yang mendakwa bahawa mereka pernah terlibat dalam kemalangan jalan raya akibat menggunakan telefon bimbit semasa memandu.

Kenyataan yang dikeluarkan oleh PDRM pada 8 Ogos 2020 melalui PDRM facebook dibawah #SembangTrafik menyatakan bahawa bermula 6 Julai 2020, kesalahan menggunakan telefon bimbit semasa memandu di bawah kaedah 17A, LN166/59 tersebut telah dikategorikan sebagai saman tidak boleh dikompaun dan kes perlu diselesaikan di mahkamah. Jika disabitkan kesalahan, hukuman denda boleh dikenakan sehingga RM1,000 atau penjara tidak lebih daripada tiga bulan. Sekiranya ia adalah sabitan kali kedua, hukuman denda sehingga RM2,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.