Kementerian Pengangkutan Malaysia

Keselamatan Penunggang Basikal

​​

Kebelakangan ini aktiviti berbasikal menunjukkan populariti yang meningkat di jalan raya Malaysia terutamanya untuk bersukan dan bersantai. Seiring dengan peningkatan ini, kerajaan dan pihak berkuasa tempatan bergabung tenaga dalam mempromosikan pengangkutan hijau ini dengan membangunkan trek basikal dan lorong basikal untuk menjadikan aktiviti berbasikal lebih selamat. Disebabkan ianya adalah tren yang baharu, tiada budaya berbasikal yang jelas di Malaysia, dan ini menjadikan pengguna jalan raya yang lain tidak terbiasa dengan penunggang basikal dan seterusnya menambahkan risiko dan bahaya kepada penunggang basikal. Oleh yang demikian, adalah disarankan kepada penunggang basikal untuk mengikuti peraturan lalu lintas dan berhati-hati ketika berada di jalan raya untuk mengelakkan konflik dengan pengguna jalan raya yang lain. Berdasarkan statistik polis 2018, kematian yang melibatkan penunggang basikal agak rendah di Malaysia iaitu hanya merangkumi sekitar 2% daripada jumlah kematian akibat kemalangan jalan raya keseluruhannya iaitu 6284 kematian. Beberapa senarai rujukan yang bagus untuk dipraktikkan oleh penunggang basikal bagi memastikan keselamatan mereka adalah seperti berikut.