Kementerian Pengangkutan Malaysia

Projek Rel


MRT Laluan Putrajaya

Projek Laluan MRT Putrajaya yang telah bermula pada Oktober 2015 akan merangkumi jajaran sepanjang 52.2 km dengan 37 stesen. Stesen terminal adalah Putrajaya dan Kwasa Damansara. Fasa pertama operasi MRT Putrajaya dijangka bermula pada bulan Julai 2021 dan fasa kedua (operasi penuh) pada Januari 2023. Projek MRT Putrajaya ini dimiliki oleh MRT Corporation Sdn Bhd.

LRT 3

Projek LRT 3 yang telah bermula pada bulan November 2015 akan merangkumi jajaran sepanjang 37.8 km dengan 20 stesen (5 stesen provisional). Stesen terminal bagi Laluan LRT 3 adalah Stesen Bandar Utama dan Stesen Johan Setia. Laluan LRT 3 dijangka akan mula beroperasi pada Februari 2024. Projek LRT 3 ini dimiliki Prasarana Malaysia Berhad.

East Coast Rail Link

Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) adalah perkhidmatan kereta api penumpang dan kargo baru yang akan menghubungkan Kota Bharu, Kelantan di Pantai Timur ke Pelabuhan Klang, Selangor di Pantai Barat Semenanjung Malaysia. Laluan ECRL sejauh 640km ini akan melalui lima negeri dan satu wilayah persekutuan, dan terbahagi kepada tiga seksysen iaitu Seksyen A (Kota Bharu - Dungun), Seksyen B (Dungun - Mentakab) dan Seksyen C (Mentakab - Pelabuhan Klang).

ECRL akan membantu untuk menghubungkan bandar dan bandar serta merangsang pelaburan baru, memacu aktiviti komersial, dan meningkatkan pelancongan di kawasan luar bandar. ECRL bakal mengurangkan masa perjalanan darat dari Kota Bharu ke kawasan Lembah Klang dari 7 jam kepada 4 jam.

Pihak-pihak dalam projek ECRL

Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRLSB) adalah pemilik projek dan aset ECRL. China Communications Construction Company Ltd. (CCCC) adalah kontraktor Kejuruteraan, Perolehan, Pembinaan dan Pentauliahan (EPCC) untuk Projek ECRL. Pengoperasian dan penyelenggaraan ECRL akan dijalankan oleh syarikat usaha sama 50-50 antara MRL dan CCCC.

Implementasi projek

Pembinaan projek ECRL telah disambung semula sejak Mei 2019. Projek ini dijadualkan siap pada akhir 2026.