Kementerian Pengangkutan Malaysia

Projek Rel Baru

​​

RTS Link

Projek Rapid Transit System Link (RTS Link) di antara Johor Bahru dan Singapura merupakan kereta api rentas sempadan baharu sepanjang 4km yang menghubungkan stesen Bukit Chagar bersebelahan JB Sentral, Johor Bahru dengan stesen Woodlands North di Singapura. RTS Link akan menggunakan Sistem Transit Aliran Ringan (LRT) dengan kapasiti sehingga 10,000 penumpang sejam pada waktu puncak. Projek ini merangkumi pembinaan stesen kereta api dan Bangunan Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Bukit Chagar, depoh penyelenggaraan berat di Wadi Hana dan jambatan di Selat Johor.

Objektif RTS Link adalah untuk mewujudkan satu sistem pengangkutan awam yang cekap yang menghubungkan Malaysia dengan Singapura. Projek RTS Link dapat mengatasi masalah kesesakan yang dialami di Tambak Johor serta mampu mewujudkan limpahan pembangunan ekonomi di negeri Johor.

​​

Pihak-pihak dalam projek RTS Link

Kerajaan Malaysia dan Singapura akan bertanggungjawab untuk membangun, membina dan menyelenggara infrastruktur dan stesen keretapi di negara masing-masing. Sehubungan itu, Kerajaan Malaysia telah melantik Malaysia Rapid Transit System Sdn. Bhd. yang merupakan anak syarikat milik penuh Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd. sebagai Syarikat Infrastruktur (InfraCo) Malaysia dalam projek RTS Link, manakala RTS Operations Pte Ltd, iaitu sebuah syarikat usaha sama yang dibentuk oleh Prasarana Malaysia Bhd dan SMRT Corporation Ltd Singapura akan mengendalikan sistem RTS Link.

​​

Pelaksanaan Projek

Projek RTS kini dalam fasa pelaksanaan. Pembinaan RTS Link dijangka akan bermula pada 2021 dan mula beroperasi pada akhir Disember tahun 2026.

​​

HSR

Projek Keretapi Laju Kuala Lumpur-Singapura (HSR) akan menghubungkan dua pusat bandar utama iaitu Kuala Lumpur dan Singapura. Jajaran HSR yang asal sepanjang 335km akan melalui Bandar Malaysia, Sepang-Putrajaya, Seremban, Ayer Keroh, Muar, Batu Pahat, Iskandar Puteri dan Jurong East, Singapura. Dengan adanya HSR, masa perjalanan dari Kuala Lumpur ke Singapura dapat disingkatkan ke 90 minit.

Kerajaan Malaysia dan Singapura telah bersetuju untuk menangguhkan pembinaan HSR sehingga hujung tahun 2020. Dalam tempoh penangguhan projek ini, MyHSR Corp dan Unit Perancang Ekonomi (EPU), Jabatan Perdana Menteri akan mengkaji semula aspek komersial dan teknikal projek tersebut.​​