Kementerian Pengangkutan Malaysia
 

Bahagian Maritim


Apakah yang dimaksudkan dengan DSL?

DSL adalah singkatan b​agi perkataan Lesen Perkapalan Dalam Negeri (Domestic Shipping License). Di bawah Dasar Kabotaj yang berkuat kuasa mulai 1 Januari 1980, kapal-kapal (kecuali kapal-kapal yang dinyatakan di bawah Seksyen 65L, Ordinan Perkapalan Saudagar 1952) yang membawa penumpang atau barangan :

  • dari mana-mana pelabuhan atau tempat di dalam Malaysia ke pelabuhan lain atau tempat di dalam Malaysia; atau
  • dari mana-mana pelabuhan atau tempat di dalam Malaysia ke mana-mana tempat di dalam Zon Ekonomi Eksklusif atau sebaliknya;

dan termasuk perkhidmatan menunda atau menolak kapal oleh sebarang kapal yang terlibat dalam perkapalan domestik mesti mempunyai DSL yang sah.

Apakah syarat untuk memohon DSL?

Syarat-syarat yang mesti dipenuhi oleh pemohon DSL adalah seperti:

  • Bagi orang perseorangan atau pemilik tunggal perniagaan, individu mestilah seorang warganegara Malaysia;
  • Bagi sesebuah pertubuhan / organisasi / perbadanan, perkongsian:
    • pentadbiran / organisasi / perbadanan ditubuhkan di Malaysia;
    • majoriti pengarah-pengarah pertubuhan itu adalah warganegara Malaysia; dan
    • majoriti saham termasuk kuasa-kuasa mengundi (voting shares) pertubuhan perkongsian itu mesti dipegang oleh warganegara Malaysia yang bebas dari kekangan bukan warganegara Malaysia.

​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​Berapakah jumlah pelabuhan yang berada di bawah seliaan Kementerian Pengangkutan?

Malaysia mempunyai sebanyak 105 buah kemudahan pendaratan yang terdiri daripada pelabuhan-pelabuhan utama dan pelabuhan-pelabuhan kecil.

Pelabuhan-pelabuhan di negara ini dibahagikan kepada dua kategori utama iaitu pelabuhan utama (major ports) dan pelabuhan kecil (minor ports). Pelabuhan Persekutuan (Federal Ports) merupakan di bawah bidang kuasa Kementerian Pengangkutan manakala Pelabuhan Negeri (State Ports) di Sabah dan Sarawak adalah di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri. Pelabuhan Utama dan Pelabuhan Kecil adalah seperti berikut:

  • Pelabuhan Utama Persekutuan
    1. Pelabuhan Kelang
    2. Pelabuhan Tanjung Pelepas
    3. Pelabuhan Pulau Pinang
    4. Pelabuhan Johor
    5. Pelabuhan Kuantan
    6. Pelabuhan Kemaman
    7. Pelabuhan Bintulu
  • Pelabuhan Kecil Persekutuan

    Kemudahan pendaratan dan jeti-jeti di seluruh negara selain daripada yang tersebut di atas adalah terletak di bawah bidang kuasa Jabatan Laut dan diklasifikasikan sebagai pelabuhan kecil (minor ports). Di antaranya ialah Pelabuhan Labuan, Pelabuhan Port Dickson dan Pelabuhan Kerteh.​​