Kementerian Pengangkutan Malaysia
 

Bahagian Udara


Berapakah bilangan lapangan terbang dan padang terbang yang terdapat di Malaysia yang dikendalikan oleh Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dan Jabatan Penerbangan Awam (DCA)?

Terdapat 20 buah lapangan terbang:

  • KLIA
  • Kota Kinabalu, Sabah
  • Kuching, Sarawak
  • Pulau Langkawi
  • Balik Pulau, Pulau Pinang
  • Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, Selangor
  • Sultan Abdul Halim, Alor Setar, Kedah
  • Sultan Azlan Shah, Ipoh, Perak
  • Batu Berendam, Melaka
  • Sultan Ahmad Shah, Kuantan, Pahang
  • Sultan Mahmud, Kuala Terengganu, Terengganu
  • Sultan Ismail Petra, Kota Bharu, Kelantan
  • Wilayah Persekutuan Labuan
  • Limbang, Sarawak
  • Tawau, Sabah
  • Lahad Datu, Sabah
  • Sandakan, Sabah
  • Sibu, Sarawak
  • Bintulu, Sarawak
  • Miri, Sarawak

Berapa buah lapangan terbang yang dikategorikan sebagai lapangan terbang antarabangsa?

Terdapat enam buah lapangan terbang dikategorikan sebagai Lapangan Terbang Antarabangsa (LTAB) iaitu KLIA, Langkawi, Pulau Pinang, Kota Kinabalu, Kuching dan Johor Bahru.

Berapa buah lapangan terbang yang mengendalikan penerbangan terus syarikat penerbangan asing/penumpang antarabangsa selain dari lapangan terbang antarabangsa?

Selain daripada 6 buah Lapangan Terbang Antarabangsa (LTAB) di Malaysia, Lapangan Terbang Kota Bharu, Kuantan, Subang, Melaka, Senai, Tioman, Ipoh, Sandakan, Tawau, Labuan, Sibu, Bintulu dan Miri juga mengendalikan penerbangan terus syarikat penerbangan asing/penumpang destinasi antarabangsa. Lapangan Terbang tersebut juga diwartakan sebagai pintu masuk dan keluar ke Malaysia dan mempunyai keperluan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) Annex 9 – facilitation iaitu CIQ (kastam, imigresen dan kuarantin).

Apakah perbezaan di antara lapangan terbang dengan padang terbang?

Perbezaan yang paling ketara ialah lapangan terbang mempunyai Menara Kawalan Trafik Udara manakala padang terbang tidak. Selain dari itu, lapangan terbang mampu mengendalikan pes​awat lebih besar daripada jenis Fokker50 manakala padang terbang hanya mampu mengendalikan pesawat kecil.

Apakah yang dimaksudkan dengan 'Full Service Carrier'?

"Full Service Carrier" bermaksud syarikat penerbangan yang menyediakan makanan secara percuma kepada penumpang, hiburan penerbangan (flight entertainment) dan pelbagai kemudahan lain di dalam kabin. Berikutan itu, kadar tambangnya mahal. Syarikat penerbangan ini biasanya mengaplikasikan hub and spoke network atau beberapa hub utama untuk operasi mereka. Menggunakan jenis pesawat udara yang banyak untuk operasi mereka yang pelbagai antaranya seperti penerbangan kelas pertama (F), perniagaan (C) dan ekonomi (Y).

Adakah terdapat perbezaan dari segi operasi bagi kedua-dua perkhidmatan penerbangan 'Full Service Carrier' dengan 'Low Service Carrier'?

Dari aspek teknikal dan operasi tiada perbezaan yang ketara di antara 'Full Service Carrier' dengan 'Low Service Carrier'. Kedua-dua jenis syarikat penerbangan perlu mematuhi syarat-syarat keselamatan dan teknikal yang ditetapkan sebelum diberikan Sijil Perakuan Pengendali Udara ('Air Operator Certificate' – AOC) daripada pihak Jabatan Penerbangan Awam (DCA).

Apakah yang dimaksudkan dengan 'Aerodrome/Airport Operating License'? Kementerian manakah yang mengeluarkan lesen ini?

'Aerodrome/Airport Operating License' merupakan lesen yang dikeluarkan kepada pihak pengendali lapang terbang (contohnya MAHB) oleh Menteri Pengangkutan di bawah seksyen 24A Akta Penerbangan Awam (CAA) 1969 untuk mengurus lapangan terbang. Badan yang bertanggungjawab memantau lapangan terbang yang dilesenkan tersebut ialah Bahagian Piawaian Lapangan Terbang, Jabatan Penerbangan Awam (DCA).

Apakah maksud penerbangan udara berjadual dan penerbangan udara tidak berjadual?

Penerbangan udara berjadual bermaksud penerbangan awam yang mempunyai jadual penerbangan yang tetap atau sistematik manakala penerbangan udara tidak berjadual adalah penerbangan awam selain daripada penerbangan berjadual.

Apakah yang dimaksudkan dengan 'Air Operators Certificate' (AOC)?

Untuk melayakkan syarikat penerbangan yang telah mendapatkan ASL atau ASP menjalankan operasi penerbangan, syarikat penerbangan tersebut perlu melalui proses audit teknikal dengan jayanya sebelum Perakuan Pengendali Udara (AOC) dikeluarkan. AOC adalah selaras dengan Peraturan 24 (1) dan (2) untuk mengesahkan syarikat berkaitan kompeten bagi mengendalikan operasi penerbangan yang selamat.

Proses AOC adalah merupakan audit teknikal yang dikendalikan oleh Bahagian Airworthiness dan Bahagian Operasi Penerbangan, Jabatan Penerbangan Awam. Perkara yang diambil kira di dalam proses AOC ialah pengalaman, kelengkapan, organisasi, staf dan penyelenggaraan. AOC perlu diperbaharui setiap tahun.

ASL/ASP dan AOC adalah merupakan dua dokumen penting yang diperlukan oleh syarikat penerbangan berjadual berkaitan untuk menawarkan perkhidmatan pengangkutan awam.​​​