| Kepentingan bandar-bandar sebagai pusat aktiviti yang mana ekonominya semakin menjurus kepada aktiviti berorientasikan perkhidmatan kini semakin meningkat. Rangkaian pengangkutan perlu mampu menyokong pertumbuhan ekonomi, pertumbuhan populasi dan kepelbagaian aktiviti (termasuk pelancongan). Telah terbukti di peringkat global bahawa sistem pengangkutan yang teratur dan komprehensif adalah penyumbang penting kepada kemakmuran ekonomi.
Kesesakan lalulintas bukan sahaja menyukarkan penumpang; ia juga mengakibatkan kerugian besar dari segi produktiviti dan mempengaruhi kebolehan bandar-bandar Negara ini untuk bersaing di peringkat global. Dalam mengatasi masalah kesesakan lalulintas, terdapat kecenderungan bagi bandar-bandar untuk membina lebih banyak jalan raya. Walau bagaimanapun, kosnya dari segi kewangan, sosial dan alam sekitar akan kian meningkat apabila tahap perkembangan bandar telah mencapai suatu tahap.
Justeru itu, terdapat keperluan untuk suatu anjakan dari mengutamakan pergerakan kenderaan bermotor, kepada pergerakan kumpulan-kumpulan orang melalui cara yang efisien dan menjimatkan kos, iaitu anjakan dari kenderaan persendirian ke pengangkutan awam. Walau bagaimanapun, dengan mengambil sistem pengangkutan awam di Lembah Klang sebagai contoh, sistem pengangkutan awam di Negara ini pada ketika ini menghadapi isu perkhidmatan yang tidak efisien (dengan kadar kelewatan dan pembatalan perjalanan yang kerap), jaringan perkhidmatan dan kesinambungan antara mod pengangkutan awam yang terhad, serta isu kesesakan yang serius (terutamanya aliran rel utama- KTM Komuter, aliran LRT Kelana Jaya). Masalah-masalah ini antara lainnya menyebabkan penggunaan sistem pengangkutan awam yang kurang memberansangkan, yang seterusnya membawa kepada isu kesesakan yang lebih serius.
Sekiranya kita gagal menangani masalah sistem pengangkutan awam di Lembah Klang, jalanraya di bandar-bandar akan menjadi terlalu sesak, dan seterusnya mempengaruhi daya produktiviti bandar-bandar utama, kualiti hidup penduduk kawasan bandar, serta kebolehan Negara untuk melonjakkan taraf bandar-bandar Malaysia ke taraf dunia. Berpegang kepada permasalahan ini, dan memandangkan pengangkutan merupakan faktor penting bagi capaian ke pekerjaan, perkhidmatan kesihatan, pendidikan dan perkhidmatan sosial, kami amat komited bagi mempertingkatkan taraf sistem pengangkutan awam di Lembah Klang menjelang tahun 2012 bagi menggalakkan lebih ramai orang meninggalkan kenderaan masing-masing di rumah dan sebaliknya menggunakan pengangkutan awam.
Demi mencapai matlamat ini, Unit NKRA Kementerian telah ditubuhkan pada November 2009 demi memantau serta mengetuai isu koordinasi bagi menyampaikan inisiatif-inisiatif yang penting bagi penambahbaikan sistem pengangkutan awam bandar. |