Amanat Tahun Baru 2012 
Amanat Tahun Baru 2012 Oleh Y. Bhg. Dato' Long See Wool 

Y.Bhg. Dato' Long See Wool
Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan

Setahun sudah berlalu begitu pantas dan kita kini hampir tiba di ambang tahun 2012. Tahun 2011 telah mencatat beberapa kejayaan yang membanggakan bagi Kementerian Pengangkutan, di mana yang terkini adalah, kita berjaya mempertahankan kerusi Ahli Majlis International Maritime Organisation (IMO) yang telah disandang selama tiga tahun sebelum ini. Selain dari itu, di peringkat agensi, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mula melaksanakan sistem penyelarasan tarikh lahir dan tarikh tamat tempoh lesen memandu yang telah diterima dengan baik oleh rakyat.

Dalam tahun 2011 ini juga, kita telah meraikan “100 Years of Aviation” yang dirasmikan oleh YAB Perdana Menteri dengan saranan beliau supaya usaha untuk menggubal “National Aviation Policy” (Dasar Penerbangan Negara) dilaksanakan dengan segera bagi menentukan hala tuju industri penerbangan negara. Pada masa yang sama, , Pelabuhan Kelang telah meraikan ulang tahun yang ke-100 nya juga pada tahun 2011 ini. Jika dilihat dalam tempoh 100 tahun ini, banyak kemajuan yang telah kita capai dalam kedua-dua bidang industri ini – penerbangan dan juga maritim. Namun masih banyak lagi yang perlu kita lakukan demi memertabatkan industri penerbangan dan maritim ke suatu tahap yang lebih kompetitif di peringkat global.

Di samping kejayaan-kejayaan yang boleh dibanggakan, banyak juga diperbincangkan dalam media berkaitan peranan Kementerian Pengangkutan dalam menangani masalah yang dihadapi oleh rakyat, khususnya dalam sektor udara dan pengangkutan awam. Masalah yang dihadapi oleh rakyat berkaitan syarikat-syarikat penerbangan dan penyedia perkhidmatan pengangkutan awam seringkali menjadi kepunyaan Kementerian. Pengurusan perkara ini memerlukan perhatian yang serius memandangkan rakyat hanya faham bahawasanya, Kementerian Pengangkutan adalah bertanggungjawab ke atas segala yang berkaitan dengan pengangkutan. Kita pula tidak boleh menolak atau “mentaichikan” perkara ini atas dasar “No wrong door policy”, walaupun ianya bukan dibawah bidang kuasa Kementerian. Kita mesti menerima sebarang aduan dan mengambil tindakan yang terbaik untuk menyelesaikannya bersama-sama agensi berkaitan.

Penubuhan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), telah menjadi kenyataan pada 1 Januari 2011, di mana segala hal serta isu berkaitan pengangkutan awam darat di Malaysia menjadi tanggungjawab SPAD yang terus melapor kepada Jabatan Perdana Menteri. Terdapat banyak kekeliruan yang timbul berkaitan peranan Kementerian serta SPAD. Sehubungan itu, amanat saya akan lebih mengkhusus kepada memberi penerangan kepada semua berkaitan kedudukan Kementerian Pengangkutan dengan adanya SPAD.

Dengan wujudnya SPAD, sebahagian besar daripada tanggungjawab penguatkuasaan JPJ terutamanya ke atas kenderaan perdagangan, kenderaan pelancongan dan pengangkutan awam kini diterajui oleh SPAD. Dari segi pelaksanaan pula, pada kebiasaannya aktiviti penguatkuasaan masih kekal dilaksanakan secara bersepadu bersama JPJ dan Polis Di Raja Malaysia (PDRM). Namun, dari sudut kuasa mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 (APJ 1987), JPJ kini bertanggungjawab terhadap pendaftaran dan pelesenan kenderaan motor, hal-hal teknikal serta pemeriksaan kenderaan, pelesenan pemandu termasuk lesen Vokasional serta penguatkuasaan berkaitan kenderaan persendirian. Selain dari pengangkutan perdagangan dan pengangkutan awam serta pelancongan, satu lagi mod pengangkutan awam darat iaitu keretapi samada yang dikendalikan oleh Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Keretapi Aliran Ringan (LRT) yang dikendalikan oleh RapidKL (Aliran Kelana Jaya atau Ampang dan juga monorel) atau perkhidmatan keretapi kargo, juga telah dipindahkan dan kini terletak dibawah bidang kuasa SPAD untuk tujuan kawalselia dan kelulusan skim keretapi. Walaubagaimana pun, selaku peneraju inisiatif Pengangkutan Awam di bawah program Transformasi Kerajaan, Kementerian Pengangkutan masih bertanggungjawab ke atas National Key Results Area (NKRA) untuk memantapkan pengangkutan awam di Lembah Kelang sewaktu puncak walaupun terdapat bidang-bidang yang terletak di bawah kuasa SPAD. Saya berharap penerangan ini akan dapat meningkatkan kefahaman semua warga Kementerian terhadapat peranan yang masih perlu dimainkan oleh kita walaupun SPAD telah ditubuhkan.

Seperti yang kita semua tahu, Kementerian Pengangkutan adalah peneraju NKRA Pengangkutan Awam Darat di mana kini pelbagai usaha sedang dilaksanakan untuk memantapkan lagi perkhidmatan pengangkutan awam di Lembah Kelang. Untuk tujuan ini, Kerajaan telah memberi peruntukan untuk pembelian 38 set tren enam koc untuk menambahbaik operasi KTM Komuter pada waktu puncak yang sering menjadi buah mulut dan rungutan di kalangan penggunanya. Tren-tren tersebut akan beroperasi secara berperingkat di mana kini tiga buah set telah pun tiba dan tiga lagi akan tiba sebelum penghujung tahun 2011. Kesemua 38 set tren ini dijangka akan beroperasi sepenuhnya sebelum pertengahan tahun 2012. Selain dari perkhidmatan KTM Komuter, Kementerian ini juga dengan kerjasama dari pelbagai agensi termasuk SPAD, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Perbadanan Aset Keretapi (PAK), Prasarana serta juga Badan Berkuasa Tempatan sedang berusaha untuk menyediakan infrastruktur dan kemudahan pengangkutan awam seperti terminal, hentian bas, hentian akhir bandar dan sebagainya yang lebih baik demi keselesaan para pengguna. Usaha juga sedang dilaksanakan untuk menyusun semua liputan rangkaian perkhidmatan bagi bas-bas supaya kemudahan dan rangkaian perkhidmatan yang lebih baik dapat disediakan kepada orang ramai.

Tahun 2011, selain dari cabaran-cabaran di bawah sektor pengangkutan, juga membawa cabaran-cabaran yang tersendiri terutamanya kepada kakitangan awam keseluruhannya. Sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SPBA) yang diperkenalkan baru-baru ini, walaupun menyediakan imbuhan yang lebih baik tetapi tetap menjanjikan persekitaran kerja yang lebih mencabar. Ini selaras dengan hasrat untuk menjadikan Perkhidmatan Awam Malaysia suatu perkhidmatan yang cemerlang, berdayasaing serta mempunyai penjawat awam yang komited dan berdedikasi. Warga Kementerian perlu memahami hasrat SBPA ini dan bersama-sama berganding bahu bergerak ke arah pencapaian hasrat ini supaya Perkhidmatan Awam Malaysia menjadi satu ikon di peringkat global dan antarabangsa.

Kini terdengar juga desas-desus bahawa Pilihanraya Umum dijangka akan diadakan pada tahun 2012. Saya amat berharap agar warga Kementerian faham akan keperluan untuk melaksanakan tanggungjawab masing-masing.

Adalah menjadi harapan saya supaya Tahun 2012 ini digunakan sepenuhnya untuk meningkatkan diri dari segi intelektual dan spiritual. Kematangan intelektual dan spiritual adalah amat penting untuk menyediakan kita untuk berdepan dengan cabaran-cabaran serta sasaran yang kian berubah demi memenuhi keperluan rakyat. Oleh itu, hayatilah mentera ini kerana inilah kenyataan, “Tugas seorang penjawat awam adalah untuk memastikan semua stakeholder dan pelanggan berpuas hati” di samping memastikan bahawa objektif Kementerian Pengangkutan sentiasa dipenuhi.

Selamat Tahun Baru 2012.

Terima kasih.