Skip to content

Kementerian Pengangkutan Malaysia

Laman Utama arrow Surat Kepada Pengarang arrow Musykil JPJ saman nombor plat tidak timbul
Musykil JPJ saman nombor plat tidak timbul

BARU-baru ini satu operasi besar-besaran dijalankan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Alor Setar, Kedah. Kebetulan isteri saya yang telah setahun membeli kenderaan yang diberikan nombor pendaftaran spray di dalam, atau nombor 'tidak timbul', telah disaman.
Malah banyak kenderaan yang bernombor pendaftaran seumpamanya turut disaman.
Saya mempersoalkan tindakan JPJ ini kerana bagi saya, ia lebih kepada mencari kesalahan kecil yang tidak menjelaskan aspek keselamatan atau undang-undang jalan raya yang sepatutnya diberikan perhatian utama. Justeru, dalam isu nombor pendaftaran ini, saya ingin bertanya:
* Mengapa banyak kenderaan rasmi kerajaan atau agensi kerajaan juga menggunakan nombor pendaftaran spray atau tidak timbul Kenderaan ini tidak pula disaman.
* Bagaimana pula kenderaan yang mendapat nombor khas atau plat istimewa yang boleh pula menggunakan nombor seperti ini?
* Apakah alasan JPJ yang paling kukuh dan boleh mengaitkan nombor seperti ini dengan punca kemalangan, atau aspek yang boleh menyebabkan pandangan JPJ terganggu seperti silau atau kesan lain jika nombor ini digunakan?
* Melalui pemerhatian, ramai pegawai agensi penguatkuasa seperti polis dan di kalangan pegawai JPJ sendiri juga menggunakan nombor berkenaan untuk tujuan fancy atau ¿kelihatan cantik¿.
Saya memohon JPJ agar mengunakan kebijaksanaan dalam menguatkuasakan sesuatu peraturan. Lihatlah perkara penting seperti aspek keselamatan kenderaan, pemantauan kenderaan awam atau isu lain yang jauh lebih penting dalam membantu mengawal salah laku yang boleh menyebabkan kemalangan atau tragedi.
Berilah peluang kepada orang ramai yang sukakan kecantikan kereta mereka sedikit kebebasan asalkan mereka tidak melampau atau mengubah suai kereta keterlaluan untuk tujuan berlumba dan sebagainya.
Malah sepanjang saya menggunakan kenderaan saya di Kuala Lumpur dan negeri-negeri lain, belum pernah disaman oleh JPJ apabila ditahan untuk pemeriksaan. Saya memohon pihak atasan JPJ menilai tindakan dan pengeluaran saman yang orang ramai lihat sebagai tidak wajar dan kurang bijak.
Melalui perbualan dengan banyak pihak, mereka bersetuju peraturan JPJ ini dianggap ¿pelik¿ dan ¿tidak mesra¿ terhadap daya kreativiti pemilik kenderaan. Tanggapan ini akan kekal sampai bila-bila selagi JPJ tidak mengubah peraturan yang tidak sesuai kepada pengguna.

Teropong JPJ, alor setar , Kedah

 

JPJ jawab isu nombor plat kereta 'tidak timbul'

SAYA ingin merujuk kepada surat bertajuk Musykil JPJ saman nombor plat 'tidak timbul' yang disiarkan di ruangan ini pada 24 November 2009.
Mengikut Kaedah 6 di bawah Kaedah-kaedah Kenderaan Bermotor (Pendaftaran & Pelesenan) 1959 - 'Nombor pendaftaran yang diberikan kepada kenderaan bermotor dalam kaedah-kaedah ini pada sepanjang masa, dipamerkan di hadapan dan belakang kenderaan bermotor tersebut dalam kedudukan menegak pada plat segi empat atau pada permulaan segi empat tidak pecah membentuk sebahagian kenderaan dan hendaklah mematuhi perkataan dan nombor dan sebaliknya dengan peruntukan-peruntukan yang mesti dipatuhi di mana plat nombor pendaftaran boleh dibina daripada besi berbentuk besi tekanan, plastik atau bahan-bahan lain yang sesuai yang ditetapkan oleh Ketua Pengarah dan mempunyai huruf dan nombor yang menaik atau timbul'.
Maklumat mengenai Spesifikasi Nombor Plat Kenderaan boleh disemak di Laman Web JPJ di alamat
www.jpj.gov.my
JPJ sentiasa menjalankan operasi penguatkuasaan dan mempelbagaikan tumpuan dan sasaran dalam mengatur perancangan operasi di seluruh negara, termasuk juga berkenaan penguatkuasaan terhadap nombor pendaftaran. Berdasarkan kepada statistik Bahagian Penguatkuasa, JPJ Malaysia Putrajaya, sebanyak 11,941 saman telah dikeluarkan di atas kesalahan nombor pendaftaran bagi tahun 2008 dan sehingga bulan September 2009, sebanyak 17,131 saman dikeluarkan di atas kesalahan ini.
Selain daripada operasi penguatkuasaan biasa yang dijalankan, JPJ juga turut mengambil tindakan terhadap aduan-aduan orang ramai kepada JPJ.
Sehubungan itu, JPJ mengalu-alukan orang ramai mengemukakan butiran lanjut dan lengkap mengenai aduan yang ingin diadukan seperti menyatakan nombor pendaftaran, tarikh, masa dan lokasi kejadian agar JPJ dapat mengambil tindakan selanjutnya. Aduan boleh disalurkan kepada
Alamat emel ini telah dilindungi dari spam bots, anda perlukan benarkan Javascript untuk melihatnya atau menghubungi di talian 03-88866412 (Bilik Kawalan, Bahagian Penguatkuasa, JPJ Malaysia, Putrajaya).

NORAINI MOHD. NAWI
Pegawai Perhubungan Awam
JPJ, Putrajaya

 
< Sebelumnya