Ucapan Menteri
Majlis Pecah Tanah Pusat Teknologi & Pengeluaran SCOMI
|
MAJLIS PECAH TANAH PUSAT TEKNOLOGI & PENGELUARAN SCOMI YB DATUK ONG TEE KEAT MENTERI PENGANGKUTAN MALAYSIA Khamis, 7 Ogos 2008
Yang Berbahagia Tan Sri Datuk Asmat Kamaludin Yang Berbahagia Dato’ Hají Zakaria Hají Bahari
Ahli-ahli Yang Berhormat
Ahli-ahli Lembaga Pengarah Scomi
Yang Berbahagia Tan Sri-Tan Sri, Dato-Dato’
Wakli-wakil Media, Para Hadirin yang dihormati sekelian
Selamat Petang dan Salam Sejahtera
Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak Scomi yang sudi menjemput saya bagi menyempurnakan “Majlis Pecah Tanah Pusat Teknologi & Pengeluaran Scomi” pada petang yang mulia ini.
Suka saya nyatakan bahawa majlis pada petang ini adalah sangat bertepatan dengan usaha Kerajaan untuk memperbaiki dan meningkatkan lagi tahap perkhidmatan pengangkutan awam di Malaysia ketika ini, terutamanya bagi sistem pengangkutan di dalam bandar.
Seperti yang kita sedia maklum, Scomi kini sedang giat memaju dan mengembangkan pemasaran produk-produknya termasuk juga monorel yang diberi nama SUTRA, bukan sahaja diperingkat domestik, bahkan di arena antarabangsa. Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati,
Malaysia kini telah melangkah maju di dalam arena pengangkutan, terutamanya dari segi mempelopori perkhidmatan pengangkutan udara, air, darat dan juga di atas trek. Maka dengan itu juga, saya bangga untuk mengatakan bahawa Malaysia mempunyai kepakaran di dalam mengendalikan projek-projek pengangkutan di serata dunia.
Sebagai sebuah syarikat tempatan, usaha Scomi untuk mengembangkan pemasaran monorelnya ini adalah merupakan suatu usaha berani yang harus mendapat perhatian dan menjadi kebanggaan rakyat Malaysia. Ianya juga jelas menunjukkan bahawa kemahiran yang dimiliki dan kejuruteraan teknologi yang direka oleh Scomi dapat di terima pakai oleh pihak luar negara dan setanding dengan pengeluar-pengeluar monorel lain di dunia.
Pada masa yang sama, Kerajaan Malaysia juga sentiasa membimbing, mendorong serta membantu syarikat-syarikat tempatan agar terus mengorak langkah ke luar negara bagi mendapatkan projek-projek di peringkat antarabangsa.
Dari segi pengangkutan jalan raya, Malaysia telahpun berjaya membangunkan industri kereta nasional seperti Proton dan Perodua, motosikal nasional seperti Modenas dan juga trak nasional – HICOM Perkasa. Pada masa yang sama, Malaysia juga mempunyai kebolehan di dalam membina dan memasang bas bagi kegunaan di dalam negara dan juga untuk dieksport.
Selain itu, salah satu pencapaian negara kita ialah membangunkan industri monorel bertaraf antarabangsa. Pembangunan monorel ini merupakan salah satu perusahaan industri berat di Malaysia. Kini, perusahaan industri berat tersebut telah melangkah jauh dan disayuti oleh banyak negara termasuk India, Vietnam, Saudi Arabia dan sebagainya.
Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati,
Monorel kini merupakan salah satu jenis pengangkutan awam yang semakin popular terutamanya untuk bandar-bandar yang padat penduduknya dan mempunyai bilangan kenderaan yang semakin meningkat, seperti di Kuala Lumpur sendiri.
Baru-baru ini, bila rakyat Malaysia terpaksa berdepan dengan isu kenaikan harga minyak, kita telah dapat melihat cara hidup warga kota pun berubah. Pengangkutan awam kini menjadi pilihan utama dan semakin popular berbanding dengan kenderaan persendirian di kalangan rakyat bandar. Pengangkutan awam dengan secara mendadak telah menjadi jalan penyelesaian bagi segelintir pengguna jalanraya akibat kenaikan harga minyak baru-baru ini .
Bagi penggunaan monorel sahaja, kita dapat melihat purata peningkatan penumpang dari 61,302 semasa sebelum kenaikan harga minyak kepada 61,937 sehari, selepas harga minyak dinaikkan. Manakala bagi bas RapidKL pula, terdapat peningkatan dalam penumpang sebanyak 7.5% dari 365,111 penumpang kepada 392,654 penumpang sehari.
Perubahan ini amatlah positif, kerana bukan sahaja ia menggalakkan penggunaan pengangkutan awam, malah pengurangan bilangan kenderaan persendirian di jalan raya turut menyumbang kepada persekitaran yang lebih sihat dengan tahap pencemaran yang rendah, akibat berkurangannya kenderaan persendirian di jalanraya.
Senario meningkatnya penggunaan kenderaan awam ini telah mendorong pengusaha-pengusaha awam untuk giat melabur bagi meningkatkan kapasiti untuk menampung permintaan penggunaan pengangkutan awam yang semakin bertambah. Ini seterusnya, dapat menjana ekonomi negara secara tidak langsung.
Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati,
Saya juga difahamkan bahawa selain daripada monorel, Scomi juga terlibat dengan aktiviti pengeluaran dan pembuatan wagon rel, bas dan juga kenderaan-kenderaan khas antaranya seperti kenderaan pengisi minyak kapalterbang (”aircraft refueller”), kenderaan pengisi air (“hydrant dispenser”) dan kenderaan pelupusan sampah (“compactor”). Selain itu, saya turut difahamkan bahawa Scomi juga terlibat di dalam pemasangan sistem bogie dan penyediaan sistem elektrikal dan mekanikal atau ringkasnya sistem E&M bagi pengembangan sistem LRT Putra.
Produk-produk keluaran Scomi ini bukan sahaja untuk pasaran domestik, tetapi juga untuk pasaran antarabangsa. Seperti bas dan kenderaan khas buatan Scomi, kini ianya telahpun dieksport ke United Kingdom, Singapore, Hong Kong, Macau, Vietnam, India, Bangladesh, Cyprus, Timur Tengah, Brunei, Papua New Guinea, Indonesia, Filipina dan Sri Lanka.
Di sini, saya ingin menyatakan bahawa saya kagum dengan usaha Scomi untuk meningkatkan bidang R & D dan teknologi mereka. Ini seterusnya membolehkan Scomi khususnya dan negara amnya untuk menjadi sebuah kuasa dalam industri perkhidmatan pengangkutan bandar (urban transit).
Dengan pembinaan Pusat Teknologi dan Pengeluaran Scomi ini, secara tidak langsungnya, saya begitu positif bahawa ia akan membuka peluang pekerjaan bukan sahaja bagi penduduk tempatan di sekitar bandar Rawang ini, malah juga kepada seluruh rakyat Malaysia secara amnya. Saya juga pasti, ini seterusnya akan menampilkan lebih ramai vendor-vendor industri kecil dan sederhana (IKS) dalam sektor ini yang akan tertumpu di kawasan sekitar Rawang kelak.
Dengan wujudnya Pusat Teknologi dan Pengeluaran Scomi ini yang akan memberi tumpuan khusus untuk pengeluaran monorel serta aktiviti-aktiviti lain yang berasaskan rel, ianya sekaligus akan meningkatkan kedudukan Malaysia sebagai salah sebuah negara pengeluar monorel di dunia.
Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati,
Sebelum saya mengakhiri ucapan saya, sekali lagi saya merakamkan ucapan terima kasih kepada Scomi di atas jemputan ini. Tahniah juga kepada Scomi di atas penerimaan baik luar negara terhadap SUTRA, sebuah monorel yang dihasilkan oleh pasukan kejuruteraan Scomi ini. Saya yakin dengan semangat dan usaha yang dipamerkan oleh Scomi, mereka akan terus lebih berdaya saing dan berjaya sebagai salah sebuah pengusaha monorel di dunia dan mengharumkan nama Malaysia. Sekian, terima kasih.
|
| < Sebelumnya | Seterusnya > |
|---|