Sistem tukar milik kenderaan bermotor online dilancar 

KUALA LUMPUR 8 Ogos - Perkhidmatan sistem tukar milik sukarela kenderaan bermotor secara dalam talian (online) dilancarkan melalui portal www.myeg.com.my di sini hari ini.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha berkata, perkhidmatan tersebut dilaksanakan bagi penambahbaikan sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan.

Katanya, pelaksanaan ini adalah inisiatif Penyedia perkhidmatan e-Kerajaan, My E.G. Services Bhd. (MYEG) dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

"Sebelum ini, proses semasa bagi permohonan tukar milik sukarela kenderaan motor dilaksanakan secara manual melalui kaunter JPJ dengan menggunakan borang dan beberapa dokumen berkaitan," katanya ketika berucap pada majlis Pelancaran Rasmi Sistem Tukar Milik Sukarela Secara Dalam Talian tersebut.

Hadir sama ialah Pengerusi Eksekutif MYEG, Datuk Dr. Norraesah Mohamad dan Ketua Pengarah JPJ, Datuk Solah Mat Hassan.

Bagi fasa pertama penggunaan sistem berkenaan katanya, ia hanya melibatkan pengguna MyKad serta kenderaan persendirian sahaja.

Tambah Cho Ha, pelaksanaan sistem tersebut membolehkan pemilik kenderaan serta pemilik baru tidak perlu hadir ke kaunter JPJ semasa urusniaga tukar milik berlaku kerana semua proses dilakukan secara dalam talian.

"Namun, sebelum melakukan proses tukar milik secara online, pemilik kenderaan serta pemilik baru perlu mendaftar akaun 1Malaysia Authenticated Digital ID (1MID) di mana-mana kaunter atau kiosk yang ditetapkan MYEG.

"Selain itu, 50 unit mobil untuk pegawai perkhidmatan pelanggan MYEG disediakan bagi perkhidmatan pintu ke pintu untuk membantu pelanggan dalam urusan pendaftaran 1MID," jelasnya.

Sementara itu, Norraesah berkata, perkhidmatan tersebut akan membantu pertumbuhan perkhidmatan sedia ada.

"Ia bukan sahaja menjimatkan masa malah memberi pengalaman lebih pantas dan mudah kepada pengguna," ujarnya.

Katanya, pengguna boleh melayari laman web berkenaan sekiranya memerlukan penerangan lebih lanjut berhubung cara atau peraturan penggimaan sistem tersebut.

 

SUMBER : UTUSAN MALAYSIA  |  PAGE 28  |  9 OGOS 2012