Kempen gagal tanpa kerjasama pengguna jalan raya 

KUALA LUMPUR 5 Sept - Usaha kerajaan mengurangkan jumlah kemalangan jalan raya menerusi pelbagai kempen akan gagal tanpa kerjasama daripada pengguna-pengguna jalan raya.

Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Prof. Madya Dr. Wong Shaw Voon berkata, kerjasama pengguna merupakan faktor penentu utama dalam usaha mengurangkan kadar kemalangan jalan raya.

"Selain kempen, kerjasama semua pihak terutama pengguna jalan raya amat penting supaya usaha kerajaan dapat memberikan manfaat kepada mereka.

"Namun di pihak MIROS, selagi ada mangsa yang terkorban, selagi itulah kami akan berusaha mencari jalan penyelesaian yang terbaik," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai jumlah kemalangan jalan raya yang terus mengalami peningkatan menerusi Ops Sikap Ke-24 sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

Tambah Shaw Voon, pelbagai langkah telah diambil kerajaan menerusi Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) dan MIROS untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai keselamatan jalan raya.

Katanya, antaranya ialah penerapan nilai etika keselamatan di jalan raya kepada murid sekolah rendah, manakala untuk pelajar sekolah menengah dijangka bermula pada tahun depan.

Dalam pada itu, Presiden Kesatuan Pegawai Pengangkutan Jalan Semenanjung Malaysia (KPPJSM), Hamzah Masri berkata, pihaknya berasa sedih terhadap peningkatan kes kemalangan jalan raya pada perayaan Aidilfitri tahun ini.

"Kita sedih kerana pelbagai kempen telah dijalankan oleh kerajaan tetapi jumlah kemalangan tetap meningkat.

"Sikap pengguna jalan raya yang mudah hilang sabar dan kurang bertimbang rasa antara faktor peningkatan kes kemalangan," katanya.

Hamzah turut mencadangkan agar kerajaan mengkaji semula penerapan nilai etika di jalan raya yang bukan hanya tertumpu kepada pelajar sekolah, malah harus dimula di peringkat prasekolah supaya pendedahan itu dapat diamalkan dengan sepenuhnya.

 

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA  |  6 SEPTEMBER 2011