Kemalangan Maut di Kedah Meningkat 

ALOR SETAR 20 Feb. - Jumlah kemalangan maut meningkat daripada 6,872 pada 2010 kepada 6,877 kes di seluruh negara pada tahun lalu dengan pertambahan empat kes di Kedah.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha berkata, statistik menunjukkan peningkatan keseluruhan di Kedah adalah lima kes, tetapi empat daripadanya adalah kemalangan di Kedah.

Sebanyak 19,710 kes kemalangan dicatatkan di Kedah pada tahun lalu membabitkan 517 nahas maut berbanding 513 kes pada 2010.

Menurutnya, kes tersebut membabitkan pelbagai kenderaan dengan penunggang dan pembonceng motosikal mencatatkan kes kemalangan tertinggi.

"Saya dimaklumkan bahawa kes kemalangan maut di Kedah meningkat empat kes pada 2011. Ini bukan sesuatu yang boleh dibanggakan kerana ramai orang meninggal dunia akibat nahas jalan raya," katanya selepas merasmikan bangunan baharu Pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah di Jalan Suka Menanti di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Pengarah JPJ, Datuk Solah Mat Hassan dan juga Pengarah JPJ Kedah, Musadad Sulaiman.

Kata Cho Ha, penunggang dan pembonceng motosikal masih menjadi pengguna jalan yang sangat berisiko terbabit dalam kemalangan apabila menyumbang sebanyak 60 peratus daripada keseluruhan kes.

"Ini masalahnya bagi pengguna apabila kita buat pelbagai kempen langsung tidak diendahkan. JPJ juga sentiasa mengadakan penguatkuasaan tetapi apabila terlalu ketat orang marah.

"Jadi, semua harus patuhi peraturan yang ditetapkan dan pastikan kenderaan berada dalam keadaan baik," katanya.

 

SUMBER : UTUSAN ONLINE  |  21 FEBRUARI 2012