|
ALOR SETAR 20 Feb. - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan melaksanakan tiga lagi aktiviti urusniaga dalam talian menjelang Julai ini bagi memudahkan orang ramai berurusan.
Usaha tersebut merupakan sebahagian daripada Program Transformasi Jabatan (JTP) melalui pembangunan semua sistem pengkomputeran JPJ yang dimulakan pada pertengahan 2010.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha berkata, tiga aktiviti berkenaan adalah urusniaga tanpa sempadan termasuk membabitkan tender nombor plat kereta, memudahkan proses pembaharuan cukai jalan dan menaik taraf pengurusan pelesenan pemandu.
Katanya, projek tersebut telah 45 peratus siap dalam fasa pembangunan untuk memperbaharui sistem dan dijangka selesai Julai ini.
"Sehingga kini JPJ telah memperkenalkan beberapa urusniaga dalam talian seperti pelaksanaan e-tukar milik sementara dalam talian untuk peniaga kereta terpakai.
"Menjelang pertengahan tahun dan akhir tahun ini lebih banyak sistem yang boleh digunakan secara dalam talian. Apa yang kita harapkan satu hari nanti semua urusniaga boleh dilakukan secara dalam talian dan boleh rnengurangkan urusniaga di kaunter JPJ," katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan bangunan baharu JPJ Kedah di Jalan Suka Menanti dekat sini hari ini.
Menurut Cho Ha, sasaran kerajaan adalah menjelang 2015 sistem urusniaga JPJ dalarn talian akan dipertingkatkan kepada 85 peratus.
Menyentuh tentang pejabat JPI Kedah yang baharu itu, kata Cho Ha, bangunan yang dibina di atas tanah seluas 9.2 hektar bernilai RM59.45 juta itu merupakan inisiatif berterusan kerajaan untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
"Pejabat baharu yang sudah beroperasi sejak 26 Disember tahun lepas menyediakan pelbagai kemudahan seperti kaunter sebanyak 54 unit berbanding 41 unit sebelum ini.
"Ia juga dilengkapi dengan ruang letak kenderaan yang luas dan boleh memuatkan sehingga 240 kenderaan," katanya.
Tambah beliau, sebuah lagi pejabat baharu JPJ di Kuantan, Pahang sudah siap dibina dan akan dirasmikan pada bulan depan.
SUMBER : UTUSAN MALAYSIA | 21 FEBRUARI 2012 |