38 kereta api elektrik enam koc beroperasi 2012 

BATU GAJAH 2 Nov. - Semua 38 set kereta api unit gandaan elektrik (EMU) enam koc bernilai RM1.89 bilion yang ditempah daripada Zuzhou Electric Locomotive Co. Ltd. (ZELC), China dijangka beroperasi sepenuhnya pada Jun 2012.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha berkata, apabila beroperasi kelak, aset terbaharu Keretapi Tanah Melayu Bhd. (KTMB) itu dijangka dapat meningkatkan bilangan pengguna Komuter KTM daripada 95,000 kepada 200,000 orang sehari.

Beliau berkata, pada masa sama, ia mampu mengurangkan masa menunggu dari 30 minit kepada 10 minit untuk setiap tren bagi kedua-dua laluan iaitu dari Tanjung Malim ke Sungai Gadut dan dari Batu Caves ke Pelabuhan Klang.

"Kesemua 38 set tren EMU ini akan tiba dan beroperasi secara berperingkat-peringkat bermula Disember ini. Ia akan beroperasi sepenuhnya pada Jun 2012.

"KTMB akan menjemput Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk melancarkan set pertama pada Disember ini selepas selesai ujian statik dan pentauliahan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat dan meninjau perkembangan pengujian serta pentauliahan set pertama EMU di Akademi KTMB Batu Gajah, di sini, hari ini.

Pada 19 Mei 2010, kerajaan telah menandatangani perjanjian dengan ZELC bagi memperoleh 38 set EMU enam koc bagi meningkatkan kapasiti Komuter KTM dalam usaha menambah baik perkhidmatan awam.

Menurut Cho Ha, set tren pertama EMU telah tiba dari China pada 22 September lalu manakala set tren kedua tiba 19 Oktober lalu.

Katanya, kedua-dua set tren ini kini berada di Akademi KTMB bagi tujuan pengujian dan pentauliahan.

"Sehingga kini, set pertama tren ini telah melalui 75 peratus ujian statik manakala set kedua sebanyak 50 peratus," katanya.

Tambah beliau, set tren ketiga dan keempat pula dalam perjalanan dari Pelabuhan Shanghai ke Pelabuhan Klang dan dijangka tiba pada 10 November ini. Set tren kelima dan keenam dalam perjalanan ke Pelabuhan Shanghai.

"Keenam-enam set tren EMU ini dijangka sampai ke sini sebelum hujung bulan ini. Kita jangkakan kesemua 38 set tren EMU yang ditempah dari China akan tiba di sini sebelum pertengahan 2012,'' ujarnya.

Beliau memberitahu, semua set tren itu akan menjalani ujian di bengkel KTMB di sini.

 

SUMBER : UTUSAN MALAYSIA  |  3 NOVEMBER 2011