FAQ 
1. Berapakah bilangan lapangan terbang dan padang terbang yang terdapat di Malaysia yang dikendalikan oleh Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dan Jabatan Penerbangan Awam (DCA)?
Terdapat 20 buah lapangan terbang:
    01. KLIA
    02. Kota Kinabalu, Sabah
    03. Kuching, Sarawak
    04. Pulau Langkawi
    05. Balik Pulau, Pulau Pinang
    06. Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, Selangor
    07. Sultan Abdul Halim, Alor Setar, Kedah
    08. Sultan Azlan Shah, Ipoh, Perak
    09. Batu Berendam, Melaka
    10. Sultan Ahmad Shah, Kuantan, Pahang
    11. Sultan Mahmud, Kuala Terengganu, Terengganu
    12. Sultan Ismail Petra, Kota Bharu, Kelantan
    13. Wilayah Persekutuan Labuan
    14. Limbang, Sarawak
    15. Tawau, Sabah
    16. Lahad Datu, Sabah
    17. Sandakan, Sabah
    18. Sibu, Sarawak
    19. Bintulu, Sarawak
    20. Miri, Sarawak

dan 18 buah padang terbang:
    01. Pulau Tioman, Pahang
    02. Pulau Pangkor, Perak
    03. Pulau Redang, Terengganu
    04. Lawas, Sarawak
    05. Marudi, Sabah
    06. Mukah, Sarawak
    07. Kapit, Sarawak
    08. Belanga, Sarawak
    09. Bario, Sarawak
    10. Long Seridan, Sarawak
    11. Long Lellang, Sarawak
    12. Long Semado, Sarawak
    13. Mulu, Sarawak
    14. Bakelalan, Sarawak
    15. Long Akah, Sarawak
    16. Kudat, Sabah
    17. Long Pasia, Sabah
    18. Semporna, Sabah

yang dikendalikan oleh Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB). Lapangan Terbang Kerteh, Terengganu dikendalikan oleh PETRONAS dan Lapangan Terbang Senai, Johor dikendalikan oleh Senai Airport Terminal Services (SATS).
DCA mengendali 7 padang terbang seperti berikut:
    01. Sungai Tiang, Pahang
    02. Segamat, Johor
    03. Sitiawan, Perak
    04. Belaga, Sarawak
    05. Sepulot, Sabah
    06. Ranau, Sabah
    07. Kuala Penyu, Sabah
2. Berapa buah lapangan terbang yang dikategorikan sebagai lapangan terbang antarabangsa?
Terdapat enam buah lapangan terbang dikategorikan sebagai Lapangan Terbang Antarabangsa (LTAB) iaitu KLIA, Langkawi, Pulau Pinang, Kota Kinabalu, Kuching dan Johor Bahru.
3. Berapa buah lapangan terbang yang mengendalikan penerbangan terus syarikat penerbangan asing/penumpang antarabangsa selain dari lapangan terbang antarabangsa?
Selain daripada 6 buah Lapangan Terbang Antarabangsa (LTAB) di Malaysia, Lapangan Terbang Kota Bharu, Kuantan, Subang, Melaka, Senai, Tioman, Ipoh, Sandakan, Tawau, Labuan, Sibu, Bintulu dan Miri juga mengendalikan penerbangan terus syarikat penerbangan asing/penumpang destinasi antarabangsa. Lapangan Terbang tersebut juga diwartakan sebagai pintu masuk dan keluar ke Malaysia dan mempunyai keperluan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) Annex 9 – facilitation iaitu CIQ (kastam, imigresen dan kuarantin).
4. Apakah perbezaan di antara lapangan terbang dengan padang terbang?
Perbezaan yang paling ketara ialah lapangan terbang mempunyai Menara Kawalan Trafik Udara manakala padang terbang tidak. Selain dari itu, lapangan terbang mampu mengendalikan pesawat lebih besar daripada jenis Fokker50 manakala padang terbang hanya mampu mengendalikan pesawat kecil.
5. Apakah yang dimaksudkan dengan 'Full Service Carrier'?
'Full Service Carrier' bermaksud syarikat penerbangan yang menyediakan makanan secara percuma kepada penumpang, hiburan penerbangan (flight entertainment) dan pelbagai kemudahan lain di dalam kabin. Berikutan itu, kadar tambangnya mahal. Syarikat penerbangan ini biasanya mengaplikasikan hub and spoke network atau beberapa hub utama untuk operasi mereka. Menggunakan jenis pesawat udara yang banyak untuk operasi mereka yang pelbagai antaranya seperti penerbangan kelas pertama (F), perniagaan (C) dan ekonomi (Y).
6. Apakah yang dimaksudkan dengan 'Low Cost Carrier' (LCC)?
'Low Cost Carrier' bermaksud syarikat penerbangan pada kadar tambang yang lebih murah dan hanya ada satu jenis kelas tiket penerbangan. Mereka menghapuskan pelbagai jenis perkhidmatan yang kebiasaannya disediakan oleh syarikat penerbangan seperti penetapan tempat duduk, makanan dan hiburan di dalam kabin pesawat, program kesetiaan (loyalty program) dan ruang legar lapangan terbang (Airport lounge). Mereka menyediakan perkhidmatan penerbangan pada kekerapan tinggi untuk jarak dekat, point-to-point domestik dan laluan antarabangsa, kaedah penjualan tiket yang murah (tempahan menggunakan internet) dan menggunakan pesawat dari jenis yang sama.
7. Adakah terdapat perbezaan dari segi operasi bagi kedua-dua perkhidmatan penerbangan 'Full Service Carrier' dengan 'Low Service Carrier'?
Dari aspek teknikal dan operasi tiada perbezaan yang ketara di antara 'Full Service Carrier' dengan 'Low Service Carrier'. Kedua-dua jenis syarikat penerbangan perlu mematuhi syarat-syarat keselamatan dan teknikal yang ditetapkan sebelum diberikan Sijil Perakuan Pengendali Udara ('Air Operator Certificate' – AOC) daripada pihak Jabatan Penerbangan Awam (DCA).
8. Apakah caj-caj yang dikenakan kepada penumpang di lapangan terbang?
Caj yang dikenakan kepada penumpang di lapangan terbang ialah Caj Perkhidmatan Penumpang (Passenger Service Charge - PSC) dan Caj Keselamatan (Security Charge -SC).
Bertolak Ke PSC (RM) SC (RM) Total (RM)
KLIA-Main Terminal Semua destinasi antarabangsa 45 6 51
KLIA-Main Terminal Semua destinasi dosmetik 6 3 9
LCCT Semua destinasi antarabangsa 25 6 31
LCCT Semua destinasi dosmetik 6 3 9
Kota Kinabalu, Kuching, Labuan, and Miri Brunei, Balik Papan, Manado, Santos, Puerto Princese and Zamboanga 20 6 26
Pulau Pinang, Langkawi, Alor Setar, Kota Bharu, dan Ipoh Semua destinasi dosmetik 20 6 26
18 secondary airports:
Alor Setar, Bintulu, Ipoh, Kuala Terengganu, Kota Bharu, Kuantan, Labuan, Lahad Datu, Limbang, Melaka, Miri, Mulu, Pangkor, Redang, Sandakan, Sibu, Tawau, dan Tioman
Destinasi-destinasi antarabangsa dalam rantau ASEAN 20 6 26
9. Apakah pengangkutan awam yang boleh digunakan oleh penumpang penerbangan untuk ke Kuala Lumpur sejurus tiba di KLIA?
Pengangkutan awam yang boleh digunakan oleh penumpang penerbangan untuk ke Kuala Lumpur sejurus tiba di KLIA ialah teksi, limousin, bas ekspres dan tren (ERL).
Mode Pengangkutan Tambang (Sehala) Tempoh Perjalanan (Sehala) Kekerapan
Teksi & Limousin Bermula dari RM67.00 1 jam Sepanjang masa
Bas Ekspres Bermula dari RM9.00 1 jam 30 minit Setiap 1 jam
ERL Ekspres RM35.00 28 minit Setiap 15 min
10. Bagaimanakah cara untuk ke Terminal Tambang Murah (LCCT)?
Untuk ke Terminal Tambang Murah (LCCT), penumpang boleh menggunakan perkhidmatan bas yang dikendalikan oleh syarikat NADI KLIA. Tempat menunggu bas ialah di Platfrom 8, Bangunan Terminal Utama (MTB) dan bas yang pertama bermula seawal jam 5.30 pagi dan berakhir pada jam 12.10 pagi, manakala dari LCCT perjalanan pertama bermula jam 5.55 pagi dan terakhir jam 12.35 pagi. Tambang sehala ialah RM 1.50.
11. Apakah prosedur bagi penumpang penerbangan untuk mendaftar masuk dari KL Sentral?
Prosedur daftar masuk di KLIA dan di KL Sentral adalah sama. Selaras dangan Terminal Udara Bandaraya (City Air Terminal), penumpang yang berlepas mempunyai pilihan untuk daftar masuk bagasi (luggage), terima pas masuk pesawat (boarding pass) di KL Sentral dan terus ke KLIA dengan tren sama ada KLIA Ekspres atau KLIA Transit. Urusan imigresen akan disiapkan di KLIA. Masa perjalanan dari KL Sentral ke KLIA ialah 28 minit dengan KLIA Ekspres dan 37 minit dengan KLIA Transit.
12. Apakah yang dimaksudkan dengan 'Aerodrome/Airport Operating License'? Kementerian manakah yang mengeluarkan lesen ini?
'Aerodrome/Airport Operating License' merupakan lesen yang dikeluarkan kepada pihak pengendali lapang terbang (contohnya MAHB) oleh Menteri Pengangkutan di bawah seksyen 24A Akta Penerbangan Awam (CAA) 1969 untuk mengurus lapangan terbang. Badan yang bertanggungjawab memantau lapangan terbang yang dilesenkan tersebut ialah Bahagian Piawaian Lapangan Terbang, Jabatan Penerbangan Awam (DCA).
13. Apakah yang dimaksudkan dengan Lesen Perkhidmatan Udara ('Air Service License')?
Lesen Perkhidmatan Udara ('Air Service License' ringkasnya ASL) adalah merupakan dokumen/sijil atau lesen yang dikeluarkan kepada syarikat penerbangan berjadual yang berwibawa oleh Kementerian Pengangkutan melalui Bahagian Pengangkutan Udara, Jabatan Penerbangan Awam (DCA). ASL sah selama lima tahun dan boleh diperbaharui. Untuk melayakkan syarikat penerbangan berjadual berkaitan menjalankan operasi, ia perlu melalui proses audit teknikal dengan jayanya sebelum Perakuan Pengendali Udara (AOC) dikeluarkan. Proses AOC adalah merupakan audit teknikal yang dikendalikan oleh Bahagian Airworthiness dan Bahagian Operasi Penerbangan, Jabatan Penerbangan Awam.
14. Apakah perbezaan antara 'Air Service Licence' (ASL) dan 'Air Service Permit' (ASP). Bagaimanakah untuk memohon kedua-duanya?
Peraturan-peraturan Penerbangan Awam (CAR), 1996 memperuntukan sesebuah syarikat penerbangan hanya sah memulakan operasi penerbangan berjadual secara komersil apabila telah mendapatkan Lesen Perkhidmatan Udara ('Air Service License' – ASL) atau Permit perkhidmatan Udara ('Air Service Permit' – ASP) untuk penerbangan tidak berjadual dan Perakuan Pengendali Udara ('Air Operator Certificate' - AOC).

Peraturan 9, 10 dan 11 CAR 1996 adalah untuk mengangkut penumpang, kargo atau mel di Malaysia melalui udara dengan mengambil sewa atau upah yang melibatkan perjalanan berjadual di antara dua tempat dan sekurang-kurangnya salah satu tempat itu mestilah di Malaysia. Manakala peraturan 16, 17 dan 18 CAR 1996 adalah untuk syarikat penerbangan tidak berjadual.

AOC adalah selaras dengan Peraturan 24 (1) dan (2) untuk mengesahkan syarikat berkaitan kompeten bagi mengendalikan operasi penerbangan yang selamat. Perkara yang diambil kira di dalam proses AOC ialah pengalaman, kelengkapan, organisasi, staf dan penyelenggaraan. Pemohon boleh mengemukakan permohonan untuk ASL dengan mengisi Borang Khas Jabatan Penerbangan Awam PPU 010 atau ASP dengan Borang Khas 011 masing-masing 5 salinan ke Bahagian Pengangkutan Udara, Jabatan Penerbangan Awam.

15. Apakah maksud penerbangan udara berjadual dan penerbangan udara tidak berjadual?
Penerbangan udara berjadual bermaksud penerbangan awam yang mempunyai jadual penerbangan yang tetap atau sistematik manakala penerbangan udara tidak berjadual adalah penerbangan awam selain daripada penerbangan berjadual.
16. Apakah yang dimaksudkan dengan 'Air Operators Certificate' (AOC)?
Untuk melayakkan syarikat penerbangan yang telah mendapatkan ASL atau ASP menjalankan operasi penerbangan, syarikat penerbangan tersebut perlu melalui proses audit teknikal dengan jayanya sebelum Perakuan Pengendali Udara (AOC) dikeluarkan. AOC adalah selaras dengan Peraturan 24 (1) dan (2) untuk mengesahkan syarikat berkaitan kompeten bagi mengendalikan operasi penerbangan yang selamat.

Proses AOC adalah merupakan audit teknikal yang dikendalikan oleh Bahagian Airworthiness dan Bahagian Operasi Penerbangan, Jabatan Penerbangan Awam. Perkara yang diambil kira di dalam proses AOC ialah pengalaman, kelengkapan, organisasi, staf dan penyelenggaraan. AOC perlu diperbaharui setiap tahun.

ASL/ASP dan AOC adalah merupakan dua dokumen penting yang diperlukan oleh syarikat penerbangan berjadual berkaitan untuk menawarkan perkhidmatan pengangkutan awam.

17. Setelah KLIA beroperasi, apakah pembangunan yang sedang dirancang untuk Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang?
Setelah KLIA beroperasi pada tahun 1998, Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang telah dijadikan sebagai Malaysia International Aerospace Centre (MIAC) di samping terus menjadi lapangan terbang untuk penerbangan am dan tentera udara. MIAC dikendalikan oleh satu konsortium yang terdiri daripada Malaysia Industry – Government Group on High Technology (MIGHT), Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), Malaysia Airlines (MAS) dan National Aerospace and Defence Industries Group (NADI). NADI mempunyai kepentingan di dalam AIROD yang dikenali sebagai pusat baik pulih dan penyelenggaraan pesawat (MRO).
18. Namakan syarikat-syarikat pengangkut kargo yang beroperasi di KLIA dan Lapangan Terbang Subang?
Syarikat pengangkutan kargo yang beroperasi di KLIA ialah China Airlines Cargo Services, Cargolux, MASkargo, Federal Express (FedEx), Korean Air, United Parcel Services (UPS) dan EVA Airways manakala syarikat pengangkutan kargo yang beroperasi di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz ialah Transmile Air.
Unit Perkhidmatan
1. Bagaimanakah elaun pemangkuan dikira?
Elaun Pemangkuan ialah perbezaan di antara gaji permulaan jawatan yang dipangku dengan gaji hakiki pegawai dengan syarat:
  • Perbezaan itu tidak kurang daripada satu pergerakan gaji biasa di gred hakiki pegawai. Jika perbezaan itu kurang daripada satu pergerakan gaji, elaun pemangkuan ialah sebanyak satu pergerakan gaji biasa di atas tangga gaji jawatan yang dipangku; dan
  • Sekiranya gaji hakiki pegawai sama atau lebih tinggi daripada gaji permulaan jawatan yang dipangku, elaun pemangkuan ialah sebanyak satu pergerakan gaji biasa di atas tangga gaji jawatan yang dipangku.
2. Bagaimanakah cara untuk menentukan kekananan pegawai?
Mengikut Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Pelantikan, Kenaikan Pangkat Dan Penamatan Pemangkuan 2005 [P.U.(A)176], kekananan pegawai adalah seperti berikut :
  • Bagi pegawai dalam gred lantikan, kekananan mengikut tarikh pegawai itu dilantik secara tetap; dan
  • Bagi pegawai dalam gred kenaikan pangkat, kekananan mengikut tarikh pegawai itu menyandang gred itu secara hakiki.
3. Bolehkah urusan penanggungan kerja dimulakan pada hari cuti?
Urusan penanggungan kerja hendaklah dimulakan pada hari bekerja.
Unit Pembangunan Organisasi
1. Bolehkah anak angkat menggunakan eGL?
Boleh jika mendapat Pengesahan/kelulusan dari Jabatan Kebajikan masyarakat.
2. Saya ingin masukkan maklumat Akademik di dalam aplikasi HRMIS, tetapi semasa memilih Institusi, tiada dipaparkan dalam senarai pilihan Institusi. Apa yang perlu saya lakukan?
Pemilik Kompetensi (CO) boleh mengemelkan nama dan alamat institusi yang lengkap kepada Unit HRMIS MOT untuk dipanjangkan perkara ini untuk tindakan pihak JPA.
3. Bolehkah saya menyalin SKT Pegawai Yang Dinilai (PYD) di bawah seliaan saya untuk dimasukkan dalam SKT saya melalui aplikasi HRMIS?
Pemilik Kompetensi yang diberi peranan sebagai Pegawai Penilai Pertama (PPP) atau Pegawai Penilai Kedua (PPK) mempunyai kemudahan untuk menyalin SKT Pegawai Yang Dinilai (PYD) di bawah seliaannya. SKT daripada PYD tersebut perlulah disahkan terlebih dahulu.
Unit Pengurusan Kerjaya
1. Apakah kemudahan lain yang disediakan kepada kakitangan Kerajaan yang tidak mendapat penajaan dalam bentuk biasiswa?
Kakitangan kerajaan yang tidak mendapat biasiswa masih layak untuk memohon cuti belajar mengikut kelayakan seperti berikut:
  • Kakitangan Sokongan

    Kakitangan sokongan yang ingin melanjutkan pelajaran dari peringkat Ijazah pertama dan ke atas layak memohon untuk mendapatkan Pinjaman Boleh Ubah (PBU) dan Cuti Belajar Separuh Gaji (CBSG). Pinjaman Pelajaran turut disediakan bagi kakitangan sokongan yang ingin melanjutkan pelajaran di peringkat Diploma.

  • Kakitangan Pengurusan dan Profesional (P&P)

    Kakitangan P&P yang ingin melanjutkan pelajaran layak untuk memohon Cuti Belajar Bergaji Penuh Separuh Biasiswa (CBBPSB) dan Cuti Belajar Tanpa Gaji Tanpa Biasiswa (CBTGTB). Selain itu, kakitangan P&P juga layak memohon cuti kursus sambilan untuk menjalani mod pengajian secara Pendidikan Jarak Jauh (PJJ).

2. Apakah program penajaan yang disediakan oleh JPA kepada pegawai Kerajaan?
Jangka Panjang
  • Hadiah Latihan Persekutuan
  • Hadiah Latihan Persekutuan Separuh Masa (Separa Biasiswa)
  • Pinjaman Boleh Ubah untuk Kompulan Sokongan
  • Diploma Khas PDRM
  • Diploma Pasca Ijazah Dalam Penyalahgunaan Dadah hdi USIM dan UMS
  • Program Separa Biasiswa (Program Khas Jabatan Peguam Negara)
    -- Universiti of Wollongong, Australia di ILKAP
    -- Universiti Nottingam, UK Kampus Malaysia di Semenyih
    -- Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) - Syariah di UIA
    -- Institut Tanah fan Ukur Negara (INSTUN) di UTM
  • Diploma Pengurusan Awam di INTAN
  • Diploma/Sarjana Sains Pengurusan (INTAN/UUM)
Jangka Pendek
  • Program Latihan Sangkutan
    -- Sangkutan British (JPA - BMCC)
  • Latihan Pengurusan Atasan
    -- Latihan JUSA dan Gred Khas (AMP)
    -- Program Pembangunan Kepimpinan Pengurusan OPertengahan Gred 48 hingga 54
  • Kursus Khas Pegawai Hal-Ehwal Islam
  • Skim Latihan JICA
    -- Program Perkongsian Ekonomi (EPP)
    -- Latihan Belia Muda (YLP)
    -- Program COTI
  • Kursus Pendek di Jepun dan Korea
    -- Program Pertukaran Belia Malaysia-Korea
3. Apakah kemudahan lain kepada pegawai kerajaan selain dari penajaan biasiswa?
Pegawai kerajaan yang tidak mendapat penajaan JPA boleh memohon untuk cuti belajar separuh gaji atau cuti belajar tanpa gaji.
4. Apakah perkhidmatan yang disediakan oleh Unit Pengurusan Psikologi?
Perkhidmatan Ujian Psikologi Perkhidmatan Kaunseling Perkhidmatan Khidmat Runding Perkhidmatan bimbingan kerjaya.
5. Apakah itu perkhidmatan kaunseling?
Kaunseling adalah merupakan satu proses untuk membina perhubungan di antara kaunselor/ pegawai psikologi dan klien bagi menghasilkan perubahan, perkembangan dan penyesuaian peribadi klien yang baik dan menyeluruh secara sukarela/ rujukan berdasarkan etika kaunseling.
6. Siapa yang boleh mendapatkan perkhidmatan kaunseling?
Warga Kementerian, Jabatan dan Agensi di Bawah Kementerian Pengangkutan Malaysia dan ahli keluarga yang terdekat.
Maklumat Yang Dikumpul
Tiada maklumat peribadi akan dikumpul semasa anda melayari laman web ini kecuali maklumat yang dikemukakan oleh anda melalui e-mel.
1. Apa yang akan Berlaku jika Saya Membuat Pautan kepada Laman Web yang Lain?
Laman web ini mempunyai pautan ke laman web lain. Dasar privasi ini hanya terpakai untuk laman web ini sahaja. Perlu diingatkan bahawa laman web yang terdapat dalam pautan mungkin mempunyai dasar privasi yang berbeza dan pengunjung dinasihatkan supaya meneliti dan memahami dasar privasi bagi setiap laman web yang dilayari.
1. Apakah yang dimaksudkan dengan DSL?
DSL adalah singkatan bagi perkataan Lesen Perkapalan Dalam Negeri (Domestic Shipping License). Di bawah Dasar Kabotaj yang berkuat kuasa mulai 1 Januari 1980, kapal-kapal (kecuali kapal-kapal yang dinyatakan di bawah Seksyen 65L, Ordinan Perkapalan Saudagar 1952) yang membawa penumpang atau barangan :
  • dari mana-mana pelabuhan atau tempat di dalam Malaysia ke pelabuhan lain atau tempat di dalam Malaysia; atau
  • dari mana-mana pelabuhan atau tempat di dalam Malaysia ke mana-mana tempat di dalam Zon Ekonomi Eksklusif atau sebaliknya;

dan termasuk perkhidmatan menunda atau menolak kapal oleh sebarang kapal yang terlibat dalam perkapalan domestik mesti mempunyai DSL yang sah.

2. Apakah syarat untuk memohon DSL?
Syarat-syarat yang mesti dipenuhi oleh pemohon DSL adalah seperti
  • Bagi orang perseorangan atau pemilik tunggal perniagaan, individu mestilah seorang warganegara Malaysia;
  • Bagi sesebuah pertubuhan / organisasi / perbadanan, perkongsian:
    -- pentadbiran / organisasi / perbadanan ditubuhkan di Malaysia;
    -- majoriti pengarah-pengarah pertubuhan itu adalah warganegara Malaysia; dan
    -- majoriti saham termasuk kuasa-kuasa mengundi (voting shares) pertubuhan perkongsian itu mesti dipegang oleh warganegara Malaysia yang bebas dari kekangan bukan warganegara Malaysia.
3. Berapakah kadar bayaran bagi Lesen Perkapalan Dalam Negeri (DSL)?
Kadar bayaran lesen adalah:
  • (i) Kapal-kapal Berdaftar Malaysia :

    RM50 setahun atau sebahagian daripada setahun bagi kapal berberat lima belas tan bersih hingga lima puluh tan bersih dan sebanyak sepuluh sen satu tan bagi tiap-tiap tan tambahan selepas lima puluh tan bersih.

  • (ii) Kapal-kapal Berdaftar Luar Negeri :

    RM50 setahun atau sebahagian daripada setahun bagi kapal berberat lima belas tan bersih hingga lima puluh tan bersih dan sebanyak empat puluh sen satu tan bagi tiap-tiap tan tambahan selepas lima puluh tan bersih.

4. Berapakah jumlah pelabuhan yang berada di bawah seliaan Kementerian Pengangkutan?
Malaysia mempunyai sebanyak 105 buah kemudahan pendaratan yang terdiri daripada pelabuhan-pelabuhan utama dan pelabuhan-pelabuhan kecil.

Pelabuhan-pelabuhan di negara ini dibahagikan kepada dua kategori utama iaitu pelabuhan utama (major ports) dan pelabuhan kecil (minor ports). Pelabuhan Persekutuan (Federal Ports) merupakan di bawah bidang kuasa Kementerian Pengangkutan manakala Pelabuhan Negeri (State Ports) di Sabah dan Sarawak adalah di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri. Pelabuhan Utama dan Pelabuhan Kecil adalah seperti berikut:

  • (a) Pelabuhan Utama Persekutuan
    1. Pelabuhan Kelang
    2. Pelabuhan Tanjung Pelepas
    3. Pelabuhan Pulau Pinang
    4. Pelabuhan Johor
    5. Pelabuhan Kuantan
    6. Pelabuhan Kemaman
    7. Pelabuhan Bintulu
  • (b) Pelabuhan Kecil Persekutuan

    Kemudahan pendaratan dan jeti-jeti di seluruh negara selain daripada yang tersebut di atas adalah terletak di bawah bidang kuasa Jabatan Laut dan diklasifikasikan sebagai pelabuhan kecil (minor ports). Di antaranya ialah Pelabuhan Labuan, Pelabuhan Port Dickson dan Pelabuhan Kerteh.

1. Bagaimana golongan kurang upaya (OKU) untuk mendapatkan lesen memandu. Adakah terdapat keistimewaan kepada golongan tersebut?
Syarat permohonan lesen memandu golongan OKU adalah sama seperti permohonan biasa. Walaubagaimanapun, golongan OKU diberi kemudahan dengan membenarkan mereka membawa kenderaan yang telah diubahsuai semasa ujian Praktikal.
2. Apa itu saman ekor?
Saman ekor merupakan notis kepada pemilik kenderaan untuk memberi maklumat butiran pemandu kenderaan di bawah Seksyen 115 Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang melakukan kesalahan yang berkenaan. Notis ini akan dihantar ke alamat pemilik kenderaan yang terdapat dalam pangkalan data JPJ. Istilah rasmi bagi saman ekor ialah Notis Pol.170A.
3. Apa perbezaan antara saman ekor dan saman-saman lain?
Saman ekor ialah saman yang dihantar secara pos berdaftar kepada pemilik kenderaan. Manakala saman selain daripada saman ekor merupakan gantian saman mahkamah yang dikeluarkan secara terus kepada pemandu kenderaan sejurus selepas kesalahan dilakukan (kendiri).
4. Siapa yang mengeluarkan saman ekor?
Saman ekor dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) ke atas kesalahan memandu melebihi had laju sahaja.
5. Apakah Tugas Jabatan Keretapi Malaysia (JKM)?
1. Untuk mengawal selia kendalian dalam perkhidmatan.
2. Untuk menetapkan standard keselamatan minimum bagi kendalian kereta api.
3. Untuk menentukan kelayakan kakitangan keretapi yang sesuai untuk pengendalian.
4. Untuk menjaga kepentingan awam berkaitan tambang, caj pengangkutan,barang,piawai dan perkhidmatan.
5. Untuk memajukan dan menggalakkan pengembangan dan pembaikan sistem kereta api dan kemudahan serta perkhidmatan kereta api di Malaysia.
6. Adakah Jabatan Keretapi Malaysia di bawah pengelolaan KTMB?
Jabatan Keretapi Malaysia adalah Jabatan Kerajaan yang diletak dibawah Kementerian Pengangkutan Malaysia.
7. Bilakah Jabatan Keretapi Malaysia ditubuhkan?
Jabatan Keretapi Malaysia ditubuhkan pada tahun 1991 di bawah Akta Keretapi 1991.
8. Apakah Sistem Keretapi di bawah seliaan Jabatan Keretapi Malaysia?
1. Aerotrain KLIA
2. Rapid KL (LRT 1)
3. Rapid KL (LRT 2)
4. Monorel Kuala Lumpur
5. Monorel Sunway
6. Keretapi Kuantan - Kerteh
7. Keretapi Tanah Melayu (KTM)
9. Bagaimanakah cara untuk memohon sewa tanah keretapi?
Orang awam/syarikat boleh memohon sewa tanah keretapi dengan mengisi borang PAK/H-01 yang boleh didapati di laman web www.rac.gov.my atau datang sendiri ke pejabat Perbadanan Aset Keretapi di alamat seperti yang tertera di dalam laman web tersebut.
10. Berapa lama tempoh kelulusan sesuatu permohonan sewa?
Kelulusan akan diperolehi dalam tempoh 60 hari bekerja.
11. Bagaimana untuk mengetahui samada sesuatu kawasan itu merupakan tanah keretapi atau tidak?
Pemohon yang ingin memohon sewa tanah keretapi boleh membuat semakan pelan tapak sesuatu kawasan di pejabat Tanah dan Daerah kawasan berkenaan atau membuat carian rasmi di pejabat ini dengan bayaran RM50 bagi setiap permohonan.
12. Apakah prosedur yang perlu dipatuhi bagi sesuatu permohonan?
Pemohon hendaklah mengisi borang PAK/H-01 dan disertakan dengan salinan kad pengenalan pemohon, gambar lokasi dan salinan pelan tapak. Bagi permohonan syarikat hendaklah turut disertakan salinan Memorandum of Articles dan salinan undang-undang tubuh kecil.
13. Bagaimanakah kadar sewa sesuatu kawasan tapak ditetapkan?
Kadar sewa merupakan kadar sewa semasa dan akan ditentukan oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta setelah kelulusan diperolehi dalam Mesyuarat jawatankuasa Sewaan dan Pajakan Tanah-tanah Keretapi.
1. Apakah yang dimaksudkan dengan aset alih?
Aset Alih bermaksud aset yang boleh dipindahkan dari satu tempat ke satu tempat yang lain termasuk aset yang dibekalkan atau dipasang bersekali dengan bangunan.
2. Apakah yang dimaksudkan dengan harta modal?
(i) Aset Alih yang harga perolehan asalnya RM1,000 (Ringgit Malaysia Satu Ribu) dan ke atas setiap satu; atau
(ii) Aset Alih yang memerlukan penyelenggaraan secara berjadual tanpa mengira harga perolehan asal. Penyelenggaraan secara berjadual merujuk kepada aset yang memerlukan penyelenggaraan seperti yang telah disyaratkan di dalam manual/buku panduan pengguna.
3. Apakah yang dimaksudkan dengan inventori?
(i) Aset Alih yang harga perolehan asalnya kurang daripada RM1,000 (Ringgit Malaysia Satu Ribu) setiap satu dan tidak memerlukan penyelenggaraan berjadual.
(ii) Perabot, hamparan, hiasan, langsir dan pinggan mangkuk tanpa mengira harga perolehan asal.
4. Bagaimanakah syarikat-syarikat boleh turut serta dalam pelawaan sebut harga bagi Kementerian Pengangkutan?
Bagi pelawaan sebut harga, syarikat-syarikat yang berdaftar dengan Kementerian Pengangkutan akan diberikan jemputan.
5. Bagaimanakah syarikat-syarikat boleh turut serta dalam pelawaan tender bagi Kementerian Pengangkutan?
Bagi pelawaan tender syarikat-syarikat boleh merujuk kepada iklan yang diiklankan dalam surat khabar utama. Selain daripada itu, mana-mana syarikat yang telah berdaftar dengan e-Perolehan, boleh mencapai iklan-iklan tender di laman web e-Perolehan.
6. Bilakah selewat-lewatnya setiap permohonan pendahuluan diri perlu dikemukakan?
Setiap permohonan pendahuluan diri perlu dikemukakan seminggu sebelum perjalanan.
7. Berapakah jumlah amaun bagi sesuatu perolehan yang dipohon secara tender?
Amaun perolehan bekalan yang melebihi RM 500,000.
8. Berapakah jumlah amaun bagi sesuatu perolehan yang dipohon secara sebut harga?
Amaun perolehan bekalan perlu melebihi RM 50,000 dan kurang dari RM 500,000.
9. Berapakan jumlah amaun perolehan bekalan yang boleh dipohon secara terus?
Amaun perolehan bekalan yang berharga kurang daripada RM 50,000.
10. Berapa lamakah tempoh masa yang diperlukan bagi sesuatu dokumen pembayaran diproses untuk tuntutan pembayaran?
Segala pembayaran bagi dokumen yang telah lengkap akan dilakukan dalam masa 14 hari.
11. Bilakah tarikh akhir mengemukakan tuntutan perjalanan dan elaun lebih masa bagi setiap bulan?
Tuntutan perjalanan dan elaun lebih masa bagi setiap bulan perlu dikemukakan sebelum 10 haribulan bagi bulan yang berikutnya.
12. Prosedur permohonan pas keselamatan tetap / sementara
a) Pas Keselamatan Tetap
Dikeluarkan bagi pegawai dan kakitangan yang bertugas di dalam Kementerian Pengangkutan (Blok D5, kompleks D)
Pemohon dikehendaki mengemukakan:
  • i). Surat lantikan daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) bagi pegawai baharu; atau
  • ii). Surat penempatan pegawai/kakitangan bagi pegawai yang bertukar masuk;
  • iii). Salinan kad pengenalan pegawai/kakitangan;
  • iv). Gambar berukuran pasport
  • v). Borang permohonan Pas Keselamatan Tetap yang telah lengkap diisi.
* Bayaran gantian sebanyak RM60 bagi setiap pas yang hilang/rosak atas kecuaian sendiri – (surat dari Kementerian Kewangan Malaysia bertarikh 11 Oktober 1999 bil. (Sk2/99) dlm. KK/BP(2.00)248/14-6)
b) Pas Keselamatan Sementara
(i) Pegawai dan kakitangan Kementerian yang masih belum menerima Pas Keselamatan Tetap (Dibekalkan setelah melengkapkan permohonan di atas);
(ii) Pelatih/ Sambilan/ Kontrak yang bertugas di dalam Kementerian Pengangkutan; dan
(iii) Kakitangan Kementerian/Jabatan lain dan agensi swasta serta pelawat yang berurusan di Kementerian Pengangkutan.
Pemohon dikehendaki mengemukakan dokumen berikut kepada pengawal keselamatan:
(i) Surat/salinan e-mel panggilan Mesyuarat dari Kementerian Pengangkutan.
(ii) Pas Kementerian/Jabatan bagi wakil Kementerian/Jabatan lain; dan
(iii) Kad Pengenalan/Lesen Memandu bagi agensi luar/pelawat.
* Bayaran gantian sebanyak RM60 bagi setiap pas yang hilang – (surat dari Kementerian Kewangan Malaysia bertarikh 11 Oktober 1999 bil. (Sk2/99) dlm. KK/BP(2.00)248/14-6)
13. Apakah yang perlu saya lakukan sekiranya berlaku kes-kes kecemasan seperti kecurian, kemalangan, pencerobohan, kebakaran dan sebarang pelanggaran keselamatan?
Anda adalah diminta untuk menghubungi Pengawal Keselamatan di talian 03-8886 6907 atau Bilik Kawalan di talian 03-8890 4531 untuk tindakan selanjutnya.