Pikat rakyat guna kemudahan awam 

BUNYI bingit hon kenderaan dan asap kotor sentiasa mewarnai bandar raya besar seperti Kuala Lumpur, Johor Bahru dan Pulau Pinang. Tidak kira masa, waktu dan keadaan, ia pasti menyelubungi setiap telinga warga kota. Sama ada pagi, petang, mahupun malam, kesesakan lalu lintas bagai tiada penghujungnya.

Senario ini bukan baru di negara Asia seperti Malaysia, bahkan turut melanda beberapa bandar raya lain seperti Bangkok dan Jakarta.

Antara faktor penyumbang kepada kesesakan jalan raya di negara ini ialah keengganan warga kota menggunakan pengangkutan awam.

Berdasarkan laporan Pelan Struktur Kuala Lumpur 2020, hanya 20 peratus penduduk Kuala Lumpur menggunakan pengangkutan awam.

Situasi ini secara tidak langsung menyumbang kepada penambahan jumlah kereta di jalan raya dan menyebabkan kesesakan lalu lintas selain pencemaran.

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Solah Mat Hassan berkata, pelbagai langkah diambil kerajaan bagi mengurangkan tahap kesesakan lalu lintas, terutama di Kuala Lumpur, antaranya menggalakkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam. "Kerajaan sudah mengambil inisiatif memperbaiki dan memperkasa sistem pengangkutan awam di Malaysia, khususnya di kawasan bandar. Diharap usaha ini akan memberi lebih kebaikan kepada pengguna," katanya kepada Metro Ahad.

Berikut beberapa langkah yang diambil: * Menyelaras kapasiti sistem yang sudah mencapai hadnya. Di bawah sistem ini beberapa inisiatif diambil, misalnya meningkatkan kapasiti komuter dan sistem transit aliran ringan (LRT) sebanyak 1.7 hingga empat kali ganda (bergantung kepada laluan tertentu), penambahan 22 set tren empat gerabak baru sistem transit aliran Kelana Jaya, di samping ruang khas bagi penumpang berkerusi roda dilengkapi tali pinggang keselamatan, serta lampu amaran di pintu untuk golongan kurang upaya (OKU) serta tingkap kecemasan, pembinaan Terminal Pengangkutan Bersepadu Bandar Tasik Selatan (TPBBTS) selain laluan bas merentasi 12 koridor utama di Lembah Klang yang akan diperkenalkan secara berperingkat-peringkat * Merangsang permintaan bagi menarik rakyat menggunakan pengangkutan awam. Antara diperkenalkan adalah konsep '1 tiket 1 perjalanan', menambah 6,800 tempat letak kereta baru di 14 stesen rel utama di luar kawasan pinggir bandar menjelang 2012, meningkatkan perkhidmatan bas pengantara ke stesen rel dan menaik taraf stesen serta terminal yang mempunyai bilangan trafik tinggi, selain menyediakan sistem IT bersepadu secara menyeluruh di samping pelaksanaan penguatkuasaan merentasi semua agensi, termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT), Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), JPJ dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) * Menghalang kenderaan berat memasuki kawasan perniagaan pusat. Bagi melaksanakan misi ini tiga terminal pengangkutan bersepadu (ITT) utama luar bandar diwujudkan, bermula di ITT Bandar Tasik Selatan. Manakala di kawasan bandar akan diwujudkan dua jenis pusat pengangkutan awam iaitu Terminal Antara Bandar di Pasarama Kota, Hentian Putra dan Pudu bagi memudahkan aliran lalu lintas dari kawasan pinggir bandar ke pusat bandar * Menguruskan permintaan melalui faktor tolakan. Apabila penggunaan pengangkutan awam melebihi 25 peratus dan sistem perkhidmatan pengangkutan awam ditambah baik, masa perjalanan akan ditepati, keselesaan dipertingkat dan inisiatif meningkatkan daya tarikan relatif pengangkutan awam iaitu daripada pengguna kenderaan persendirian akan dipercepat.

"Kita sedar bukan mudah mahu melaksanakannya dalam sekelip mata. Banyak aspek perlu diperbaiki dalam memperkasa pengangkutan awam di Malaysia, khususnya di kawasan bandar. Penekanan khusus sudah dan akan diambil di bawah pelaksanaan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Pengangkutan Awam Bandar. Kini, dianggarkan 240,000 atau 10 hingga 12 peratus individu daripada jumlah populasi penduduk Lembah Klang menggunakan pengangkutan awam," kata Solah.

Beliau berkata, kerajaan menjangka seramai 600,000 atau 25 peratus penduduk sekitar Lembah Klang akan menggunakan perkhidmatan awam itu menjelang penghujung 2012.

"Bagi merealisasikan usaha ini, kerajaan akan meningkatkan tahap pengangkutan awam, meningkatkan tahap keselesaan pengguna, menambah jumlah perjalanan, meningkatkan kapasiti pengangkutan awam dan mengurangkan kesesakan kenderaan berat di kawasan pusat perniagaan (CBD).

"Di samping itu, langkah seperti penambahbaikan dan pembinaan lebuh raya serta jalan bertingkat di kawasan mempunyai aliran trafik tinggi dan langkah lain turut dibuat dari semasa ke semasa," katanya.

Solah berkata, masalah kesesakan lalu lintas adalah senario biasa dihadapi seluruh dunia.

Berbanding negara Asia lain, katanya, situasi di Malaysia masih dalam keadaan terkawal dan tidak membimbangkan disebabkan kesesakan hanya berlaku pada waktu puncak iaitu 7 hingga 9 pagi.

Kesesakan itu antara lain berpunca daripada jumlah kenderaan yang tidak terkawal di ibu kota.

Menurutnya, sehingga 31 Disember lalu, sebanyak 9,441, 907 motosikal serta 9,114, 920 kenderaan persendirian di seluruh negara berdaftar dengan JPJ.

"Bagi kenderaan perkhidmatan awam pula, sebanyak 69,149 bas, 84,661 teksi dan 18,300 kereta sewa pandu sendiri didaftarkan. Bilangan kenderaan barangan pula sebanyak 966,177 dan kenderaan lain 493, 451.

"Jumlah keseluruhan hingga tarikh sama adalah 20,188,565 kenderaan yang berdaftar dengan JPJ seluruh negara, manakala laporan dari Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pula menyatakan kira-kira tiga juta kenderaan keluar masuk setiap hari di Kuala Lumpur," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, jika situasi ini berlarutan, ia akan memberi kesan jangka panjang terhadap kesejahteraan rakyat sama ada daripada segi ekonomi sosial mahupun pembangunan negara.

"Ia akan memberi kesan, misalnya peningkatan penggunaan minyak kenderaan, selain produktiviti individu di tempat kerja mungkin terjejas kesan kelesuan menempuh kesesakan sewaktu pergi dan balik kerja setiap hari.

"Daripada segi sosial pula, individu hanya mempunyai masa terhad di rumah dan beriadah disebabkan banyak masa dihabiskan di jalan raya. Atas sebab ini, inisiatif seperti NKRA Pengangkutan Bandar diberi perhatian, malah langkah jangka panjang dibuat bagi mengatasi masalah ini dan ia sebagai tanda keprihatinan kerajaan kepada rakyat yang pada masa sama memastikan modul insan negara ini dapat digunakan sepenuhnya untuk pembangunan negara," katanya.

 

SUMBER: HARIAN METRO | 22 MEI 2011