MAHB pergiat usaha 

MALAYSIA Airports Holdings Berhad (MAHB) mempergiatkan usaha mengekalkan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dalam kedudukan lima terbaik dunia bagi kategori 25 hingga 40 juta penumpang setahun dalam senarai Kualiti Perkhidmatan Lapangan Terbang (ASQ) menerusi program ‘Ke arah Mengukuhkan Budaya Kecemerlangan’ (ACE).

Pengerusinya, Tan Sri Dr Aris Othman berkata, perkhidmatan cemerlang, sistem yang sempurna dan kerjasama semua pihak amat penting untuk mengekalkan status menjadi antara lima lapangan terbang terbaik dunia.

Justeru, katanya, pasukan ACE yang terdiri daripada wakil pelbagai agensi di KLIA termasuk Jabatan Imigresen, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Penerbangan Malaysia, KLAS, AirAsia Berhad, Airport Limo dan teksi LCCT ditubuhkan untuk merealisasikan hasrat berkenaan.

“Pasukan ini akan menjadi ejen perubahan untuk memastikan piawaian ditetapkan ASQ sentiasa dirujuk, sekali gus menjadi amalan terbaik industri. “Mereka bukan hanya memantau piawaian perkhidmatan, tetapi turut menyediakan landasan kepada komuniti di KLIA terus bekerjasama dan menjalin hubungan lebih kukuh di antara semua pihak, sekali gus mampu menyediakan perkhidmatan terbaik di lapangan terbang berkenaan,” katanya pada majlis sambutan Ulang Tahun ke-13 KLIA di Sepang, semalam.

Majlis yang turut dihadiri Pengarah Urusan MAHB, Tan Sri Bashir Ahmad itu, diadakan juga majlis penyampaian cenderamata kepada Fatimah Ali Azhar, 48, yang diumumkan sebagai penumpang bertuah ke-287 juta keseluruhan sempena Ulang Tahun KLIA ke-13.

Dua lagi penumpang iaitu Benbella Marzahan, 29, dari Kedah menjadi penumpang bertuah ke-95 juta untuk kategori domestik manakala Rewse Weide, 32, dari Belanda menjadi penumpang bertuah ke-193 juta bagi kategori penumpang antarabangsa. Sementara itu, Aris berkata, dalam usaha mempromosi KLIA sebagai destinasi pilihan, MAHB sudah memperkenalkan pakej insentif untuk syarikat penerbangan iaitu Program Pemulihan Penerbangan yang memberi pilihan kepada syarikat penerbangan menjadikan KLIA hab penerbangan di rantau ini.

“Jumlah pergerakan penumpang di KLIA tahun lalu meningkat 14.8 peratus kepada 34.1 juta berbanding 29.7 juta pada 2009. Sepanjang suku pertama tahun ini, KLIA mencatatkan pertumbuhan 6.6 peratus kepada 4.7 juta berbanding 4.4 juta penumpang bagi tempoh sama tahun lalu,” katanya.

 

SUMBER: HARIAN METRO  |  1 JULAI 2011